MOSCOW: Bekas Timbalan Menteri Pertahanan Rusia, Timur Ivanov, dipenjara 13 tahun oleh mahkamah semalam selepas didapati bersalah bagi tuduhan rasuah.
Ivanov, yang ditahan pada April 2024 atas dakwaan menerima rasuah, turut berdepan tuduhan tambahan membabitkan penyelewengan dana yang difailkan oleh pihak penyiasat pada Oktober tahun lalu.
Kes Ivanov merupakan antara skandal rasuah terbesar yang melanda sektor pertahanan Rusia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan lebih sedozen individu termasuk dua lagi bekas timbalan menteri turut ditahan dalam siri siasatan berprofil tinggi itu.
Ivanov, yang sebelum ini menafikan semua tuduhan, turut dilucutkan semua anugerah negaranya dan peguamnya memaklumkan pihak pembelaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah.
Menurut media rasmi, jumlah keseluruhan wang yang didakwa diseleweng oleh Ivanov dan beberapa individu lain mencecah 4.1 bilion rouble (RM 205,000 juta), kebanyakannya dipindahkan ke dua akaun bank di luar negara.
Perbicaraan kes tersebut dijalankan secara tertutup atas alasan melibatkan kerahsiaan negara.
Sementara itu, Seorang bekas pegawai bawahan Ivanov, Anton Filatov, turut dijatuhi hukuman 12 tahun setengah penjara dalam kes berkaitan.
Media Rusia turut melaporkan Ivanov dan isterinya memiliki gaya hidup mewah, termasuk sebuah pangsapuri mewah di pusat bandar Moscow, sebuah rumah agam tiga tingkat ala Inggeris di pinggir ibu negara, serta koleksi kereta klasik seperti Bentley dan Aston Martin.
Penahanan Ivanov pada tahun lalu disambut baik oleh kumpulan “Z-bloggers”, iaitu sekumpulan koresponden perang dan penganalisis pro-kerajaan yang lantang menyokong pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, namun sering mengkritik pegawai atasan tentera kerana dianggap tidak cekap, terputus hubungan dengan realiti dan sarat dengan gejala rasuah.
Penahanan ini sekali lagi mencetuskan persoalan besar mengenai tadbir urus dan integriti dalam struktur pertahanan Rusia, lebih-lebih lagi ketika negara itu terus terlibat dalam konflik ketenteraan yang berpanjangan. -AGENSI










