PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan taktik penjenayah profesional mengupah peguam-peguam terkemuka bagi mempertahankan aktiviti penipuan pelaburan yang melibatkan nilai jutaan ringgit.
Mendedahkan modus operandi itu, satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, tindakan itu menjadi antara punca banyak tangkapan dan siasatan dilakukan pihak berkuasa sebelum ini tiada pertuduhan.
Sumber itu berkata, sindiket penipuan ini juga menggunakan perniagaan-perniagaan seperti perlombongan, hartanah dan perhotelan yang berpangkalan di luar negara untuk menarik mangsa melabur dalam skala besar.
“Difahamkan, satu tangkapan telah dibuat oleh SPRM hari ini (semalam) terhadap seorang individu berhubung penipuan itu dan bagaimanapun tiada pengesahan lanjut mengenai perkara itu,” katanya di sini, semalam.
Kata sumber, sindiket ini licik kerana menggunakan kepakaran mereka dalam bidang profesional dengan melakukan transaksi pelaburan seolah-olah mengikut undang-undang yang sah.
Modus operandi berkenaan menyebabkan ramai mangsa bagaikan ‘dipukau’ oleh sindiket ini untuk melabur dengan begitu mudah dan dalam nilai jutaan ringgit.
“Mereka juga dikesan menjanjikan pulangan pelaburan yang besar dalam masa singkat bagi memperdaya mangsa-mangsa.
“Jika kegiatan itu terbongkar dan dapat dihidu pihak berkuasa, mereka sanggup mengupah peguam-peguam berlatar belakang hebat untuk melawan kes berkenaan agar tiada pertuduhan boleh dibuat sebaik siasatan dijalankan,” kata sumber itu.
Mendedah lebih lanjut, kata sumber itu, sindiket berkenaan juga dikatakan akan menggunakan wang yang diperoleh daripada pelabur-pelabur berkenaan untuk membeli hartanah seperti hotel di beberapa negara.
Ujar sumber itu, keuntungan yang diperoleh kemudiannya akan di bawa masuk semula ke negara ini untuk membuka syarikat bagi mengaburi mangsa-mangsa berkenaan.
“Mangsa-mangsa yang melabur pula beranggapan wang pelaburan mereka masih berada di luar negara sedangkan hasil tersebut telah pun digunakan sindiket berkenaan membeli syarikat itu,” jelasnya.
Rentetan itu, difahamkan, beberapa aduan dipercayai telah dibuat oleh mangsa kepada SPRM. – UTUSAN










