KUANTAN: Tawaran harga serendah RM1,000 untuk perabot kayu jati idaman antara taktik sindiket yang menipu orang ramai kononnya mereka penjual barangan berkenaan.
Menerusi tawaran harga rendah daripada asalnya melebihi RM5,000, pengguna terutamanya peminat perabot kayu jati menyebabkan ada yang ‘hilang kewarasan’ sehingga terpedaya.
Akibat terpedaya, mereka terus berurusan secara dalam talian dengan suspek yang mengiklankan produk kayu jati murah kerana takut kehabisan stok dan terus membuat pembayaran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah mendakwa, sindiket memberi pelbagai alasan terpaksa menjual harga murah antaranya mengosongkan gudang, stok lama, tawaran harga hujung tahun, jualan pindah kedai yang akhirnya memperdaya peminat perabot kayu jati.
“Sindiket tidak memberikan alamat gudang ataupun premis mereka sebaliknya hanya menjalankan urusan menerusi laman sosial seperti Facebook dan WhatsApp.
“Apabila mangsanya bersetuju membeli, sindiket akan memberikan akaun nombor yang bukan atas nama syarikat tetapi milik individu.
“Tanpa berfikir panjang, mangsa terus membuat pembayaran ke akaun nombor diberikan kerana mereka hanya memikirkan perabot itu murah berbanding tempat lain tanpa menyedari hakikatnya mereka telah ditipu,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus berkata, yayasan berkenaan menerima aduan mangsa bukan sahaja dari negeri ini malah turut berlaku di Johor, Perak, Negeri Sembilan dan juga Pulau Pinang.
“Kita (YPNM) juga turun membuat siasatan kononnya untuk membuat pembelian, setelah kita minta alamat dan pergi ke lokasi diberikan, ia palsu, premis tidak wujud, hanya ada kilang papan. Apabila dihubungi, pengiklan akaun Facebook sudah dipadam,” katanya.- UTUSAN











