PRN di Melaka, Sabah berbeza - Utusan Malaysia

PRN di Melaka, Sabah berbeza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada sebab Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditangguhkan semata-mata ke­ra­na bimbang dengan penularan Co­vid-19 sebagaimana berlaku semasa PRN Sabah pada September tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, kedua-dua PRN itu jauh berbeza mengambil kira situasi negara yang kini sudah bersedia memasuki fasa endemik dengan kadar vaksinasi sudah mencapai 90 peratus.

Beliau berkata, jika faktor Covid-19 dijadikan alasan sehingga memerlukan pengisytiharan darurat bagi menangguhkan PRN Melaka, ia hanya melengahkan penyelesaian krisis politik sebuah kerajaan yang hilang majoriti sekali gus menjejaskan kestabilan dan kelancaran pengurusan pentadbiran negeri.

Beliau menjelaskan, kerajaan caretaker tidak dapat bergerak lancar kerana kuasanya terhad, maka pilihan untuk menangguhkan pilihan raya bukanlah pilihan terbaik apatah lagi tidak dinyatakan secara spesifik di dalam Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Negeri.

“Garis panduan atau SOP pelaksanaan pilihan raya boleh dilaksanakan dengan penguatkuasaan tegas sebagai langkah mengelak penularan jangkitan di samping larangan sepenuh­nya kempen terbuka, sebalik­nya menggunakan sepenuhnya kempen digital sebagaimana trend di semua negara demokrasi maju seluruh dunia.

“Lebih 80 negara telah menjalankan proses pilihan raya semasa pandemik Covid-19 sejak pertengahan 2020 hingga hari ini. Jika SOP dipatuhi dan terkawal, pilihan raya dapat berjalan lancar dan berjaya,” katanya di sini semalam.

Menurut Wan Ahmad, PRN Sabah dan PRN Melaka perlu dilihat dari dua sudut berbeza iaitu situasi di PRN Sabah ketika itu kadar jangkitan masih tinggi dan pemberian vaksin belum dimulakan.

Katanya, SOP berkempen tidak dipatuhi, langkah pe­ngu­atkuasaan SOP kurang berkesan dan pematuhan yang sangat lemah dalam setiap kawasan pilihan raya termasuk di luar dan dalam pusat-pusat me­ngundi di seluruh negeri Sabah.

Beliau berkata, pergerakan rentas kawasan atau daerah tidak dikawal baik dengan kemasukan ramai orang luar ke negeri itu bagi tujuan berkempen tanpa mewajibkan pelaksanaan kuarantin selepas keluar masuk Sabah.

“Jumlah Dewan Undangan Negeri (DUN) dan jumlah pe­ngundi yang berbeza kedua-dua negeri yang mana Melaka hanya mempunyai 28 kawasan DUN berbanding 73 DUN di Sabah yang tentunya tidak sama de­ngan aspek penguatkuasaan undang-undang dan pematuhan SOP,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Ahmad berkata, jika PRN terpaksa ditangguhkan susulan pengisytiharan proklamasi darurat, maka terbaik jika penangguhan sehingga pembubaran Parlimen berlaku untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Langkah ini, kata beliau, boleh dibuat bersekali dengan PRN Sarawak sekali gus menjimatkan wang dan tenaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN