Polis minta henti spekulasi kematian pemaju hartanah terkenal Pulau Pinang  - Utusan Malaysia

Polis minta henti spekulasi kematian pemaju hartanah terkenal Pulau Pinang 

FISOL SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis meminta orang ramai menghentikan spekulasi mengenai kematian pemaju hartanah terkenal di Pulau Pinang yang ditemukan maut dipercayai akibat terjatuh di sebuah pangsapuri mewah di Jalan Kelawai, di sini, semalam. 

 

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, ini kerana siasatan awal polis menunjukkan kematian mangsa tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan  diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

 

“Polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kolam renang, pintu masuk dan lif serta mendapati tiada sebarang individu yang mencurigakan keluar masuk di kondominium mewah milik mangsa. 

 

“Laporan bedah siasat mendapati mangsa mati disebabkan kecederaan yang pelbagai akibat jatuh dari tempat yang tinggi, ujian darah juga mendapati mangsa bebas dari unsur alkohol atau dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini. 

 

Menurut Fisol, pihak polis juga tidak dapat mendedahkan siapa identiti sebenar mangsa kerana menghormati perasaan ahli keluarga mangsa. 

 

“Ia adalah soal etika dan kemanusiaan, jadi, kami tidak dapat mendedahkan atau mengesahkan siapa identiti mangsa. 

 

“Mangsa adalah seperti yang kamu semua tahu, seorang ahli perniagaan terkenal,” katanya. 

 

Jelasnya, menerusi siasatan awal bersama ahli keluarga mangsa iaitu isterinya yang berusia 55 tahun dan dua anaknya berusia 21 dan 24 tahun juga mendapati tiada sebarang kelakuan mencurigakan atau luar biasa daripada mangsa. 

 

“Isteri mangsa ada memberitahu, sebelum ini, mangsa ada memaklumkan dia dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

 

“Hanya perkara itu yang dimaklumkan kepada isteri mangsa, mangsa juga dimaklumkan oleh isterinya tidak ada masalah depresi dan ketika kejadian, isteri dan dua anak mangsa sedang tidur di rumah mereka,” katanya. 

 

Tambahnya, siasatan lanjut mengenai kes berkenaan masih dijalankan kerana kejadian baru sahaja berlaku. 

 

Semalam, beberapa laporan portal menyebut pemaju hartanah terkenal di Pulau Pinang, Datuk Ewe Swee Kheng ditemukan maut di dalam kolam renang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium mewah di Jalan Kelawai, di sini. 

 

Mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 5.20 pagi oleh pengawal keselamatan kondominium tersebut yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis berhubung kejadian tersebut. 

 

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, mangsa sepatutnya menjadi saksi utama membabitkan kes skandal pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang, namun, belum sempat memberi keterangan di mahkamah. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN