ARAU: Perlis membangunkan projek Pembangunan Pusat Kepelbagaian Biologi Wang Kelian dengan peruntukkan RM2 juta yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) meluluskan projek tersebut yang bermula tahun ini hingga 2022 dengan matlamatnya selari dengan hasrat Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2021 – 2030.
Menurut beliau, program-program dan aktiviti yang dijalankan menggalakkan penyelidikan dan kajian untuk dilakukan di Taman Negeri Perlis (TNP) dan ini adalah peluang untuk mengembangkan lagi Hub Kepelbagaian Biologi di zon utara tanah air khususnya di Perlis
“Kerajaan negeri sedang membangunkan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Wang Kelian, Perlis yang sedang dibangunkan oleh PlanMalaysia bagi tujuan membangunkan potensi eko pelancongan Wang Kelian.
“Sebanyak tujuh eko pelancongan di Wang Kelian dikenal pasti iaitu Viewpoint Wang Kelian, Komuniti Beruk Kentoi, Perkampungan Wang Kelian dan peninggalan sejarah Brunei, Ladang Nanas MD2, Taman Negeri Perlis, Pembangunan semula Arked Niaga Wang Kelian dan Pintu Sempadan Antarabangsa di Wang Kelian.
“Dengan adanya RKK Wang Kelian kelak, diharap eko pelancongan negeri khususnya di kawasan Wang Kelian berkembang pesat untuk maanfaat semua,” katanya pada Majlis Penutup Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Perlis di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Teh Chai Ann.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang; Pengarah Perhutanan negeri, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni dan Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Abdul Malek Hasan.
Sementara itu, Chai Ann berkata, Pembangunan Pusat Kepelbagaian Biologi Wang Kelian yang sudah berjalan akan digunakan untuk menjalankan kajian pelbagai khazanah yang ada di negeri ini seperti fosil dan tumbuhan.
“Antaranya adalah pokok bogak yang banyak terdapat di TNP dan juga beruk kentoi. Dua spesis ini akan dikaji dan mahu dijadikan sebagai ikon di Perlis,” ujarnya. – UTUSAN