MELAKA: Seramai 60 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka membuat pemantauan dua kali sehari di 124 lokasi kawasan banjir sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.
Penolong Pengarah Operasi JBPM negeri, Penguasa Kanan Bomba II, Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, sebanyak 10 pasukan bomba terdiri daripada enam anggota dari setiap balai ditugaskan memantau paras air sungai sejak 22 September lalu.
Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti berpotensi menyebabkan bah ialah di Sungai Asahan, Sungai Ayer Panas, Empangan Gadek, Sungai Pengkalan dan Sungai Putat.
“Kita mempunyai 10 pasukan pemantau terdiri daripada 60 anggota yang membuat tinjauan paras air sungai di 124 lokasi hotspot banjir di negeri ini.
“Pemantauan ini dilakukan dua kali sehari, iaitu pada waktu pagi dan petang. Sekiranya cuaca hujan berterusan, pasukan pemantau berada di lokasi dengan lebih kerap untuk memeriksa paras air sungai,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemantauan juga dibuat bagi memastikan semua anggota dapat memahami dan arif dengan struktur bentuk muka bumi kawasan terlibat.
“Selain memantau paras air sungai, anggota dapat mengenal pasti struktur muka bumi di kawasan terbabit bagi melancarkan kerja-kerja penyelamatan sekiranya berlaku banjir,” katanya.
Tambah Muhammad Izwan Arief, semua aset JBPM Melaka berada dalam keadaan bersedia untuk digerakkan ke lokasi bencana.
“Bomba negeri kini mempunyai empat bot fiber, sembilan buah lori dan 15 bot aluminum untuk operasi menyelamat serta memindahkan mangsa banjir,” katanya. – UTUSAN ONLINE