SABAK BERNAM: Kehilangan seorang nelayan yang terjatuh ketika mencuci mukanya di Jeti Sungai Nipah, Sungai Besar di sini, terungkai apabila mayatnya ditemukan malam tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, mayat lelaki berusia 38 tahun itu ditemukan pada pukul 11.45 malam.
“Mayat berkenaan berada pada jarak kira-kira tiga meter dari lokasi mangsa terjatuh.
“Mangsa dipercayai terjatuh di kedalaman dua meter sebelum ditemui di sekitar kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, seorang nelayan dilaporkan hilang selepas terjatuh ketika sedang mencuci muka di Jeti Sungai Besar di sini petang semalam.
Bomba yang tiba ditempat kejadian terus menjalankan operasi menyelamat, namun terpaksa dihentikan seketika kerana hari semakin gelap dan bersambung semula pagi tadi.
Dalam pada itu, Norazam memberitahu, semalam pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.42 petang semalam.
“Operasi mencari dan menyelamat itu disertai sepasukan enam pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar.
“Ia turut mendapat kerjasama Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) BBP Shah Alam dan Pelabuhan Klang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias mengesahkan kejadian dan berkata kes disiasat sebagai orang hilang. – UTUSAN