Keluarga Adib harap dapat keadilan - Utusan Malaysia

Keluarga Adib harap dapat keadilan

ALLAHYARHAM MUHAMMAD ADIB MOHD. KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim mengharapkan penubuhan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh kes kematian anggota bomba itu sebagai ruang untuk melihat keadilan ditegakkan.

Menurut bapa Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 65, penubuhan jawatankuasa itu juga membuktikan kerajaan mengambil berat terhadap kejadian yang me­nimpa arwah anaknya.

Begitupun katanya, beliau dan keluarga amat berharap supaya jawatankuasa itu menjalankan fungsinya dan tidak sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Saya gembira dengan keputusan ini dan amat berharap agar ada satu keputusan yang dapat membela pemergian Muhammad Adib,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tentang penubuhan jawatankuasa tersebut yang disifatkan sebagai bukti komitmen kerajaan dalam memastikan kematian anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya itu, mendapat keadilan.

Menurut Perdana Menteri jawatankuasa itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Penubuhan jawatankuasa itu antara yang diputuskan oleh Kabinet dalam mesyua­rat kelmarin.

Mohd. Kassim menambah, beliau percaya langkah kerajaan itu bukan hanya dinantikan oleh keluarganya saja malah turut ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia yang mahukan keadilan buat Muhammad Adib.

“Saya fikir apabila kerajaan umumkan penubuhan jawatankuasa ini, seluruh rakyat Malaysia sudah mula nampak akan cahayanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN