KUALA LUMPUR: Kira-kira 300 penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek di Mukim Ulu Yam, Hulu Selangor menyangkal dakwaan menceroboh, sebaliknya mempunyai geran tanah untuk menduduki kawasan tersebut.
Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Kampung Melayu Bukit Tarek, Shamsiah Mohamad berkata, beliau dan semua penduduk memiliki geran mendiami kawasan itu sejak 2004 ketika Selangor di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
“Kita bukan penceroboh atau duduk di tanah haram, tanah yang kita duduki ini adalah tanah kita, kita ada geran. Geran ini kami peroleh secara sah sejak 2004.”
“Cukai tahunan pun kita bayar setiap tahun.Kami sudah membuat perbincangan dengan beberapa pihak sebelum ini termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), lawatan dah dibuat, kami pun dah tunjukkan tapak untuk membina pencawang elektrik. Mereka bersetuju untuk membuat pemasangan elektrik, tetapi cuma kosnya terlalu mahal.
“Sebab itu masih tidak dapat diselesaikan sehingga hari ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Melayu Bukit Tarek, Mamat Deraman pula berkata, selepas mendapat geran, beliau dan penduduk Bukit Tarek mengumpul dana sebanyak RM800 setiap seorang untuk membina pencawang elektrik.
“Kami sudah kumpulkan duit tersebut dan kita bayar secara berperingkat. Kita serahkan duit itu kepada kontraktor, tetapi akhirnya kita tidak cukup duit. Usaha itu tergantung sampai hari ini,” katanya.
Kampung Melayu Bukit Tarek terletak di Mukim Ulu Yam, Hulu Selangor berkeluasan 850 ekar dengan menempatkan 60 buah penempatan di mana penduduknya belum menikmati kemudahan asas seperti elektrik, air dan jalan raya hampir 30 tahun lamanya.
Walaupun kedudukannya berhampiran Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), penduduk di situ masih melalui kehidupan menggunakan generator, bateri kereta dan panel solar untuk bekalan elektrik sementara air hujan pula untuk kegunaan harian.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pemilik lot kebanyakannya adalah bekas kakitangan kerajaan seperti anggota polis, tentera, pesara, dan pegawai kerajaan.
Isu Kampung Melayu Bukit Tarek dilihat semakin rumit apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kelmarin berkata, penempatan tanpa kemudahan asas sejak 30 tahun lalu didakwa terletak dalam kawasan hutan simpan di daerah berkenaan.
“Kerajaan sudah semestinya mahu membantu penduduk kampung terbabit tetapi sebelum itu, kita perlu tahu status sebenar tanah kawasan itu.
“Laporan awal yang saya terima berhubung status tanah lokaliti (kawasan kampung tersebut) adalah bukan tanah hak milik, sebaliknya kawasan hutan simpan,” kata Amirudin.
Mengulas lanjut isu tersebut, Shamsiah berkata, penduduk Kampung Bukit Tarek memperoleh tanah tersebut pada 1989 ketika di bawah pentadbiran Muhammad Taib, kemudian pengeluaran
Permohonan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dibuat pada November 2001.
“Muhammad Taib yang beri tanah ini kepada kami, dan perolehan geran pada 2004 dibuat semasa zaman Mohamad Khir.
“Jadi, adakah Menteri Besar sekarang nak cakap kita ini penceroboh kah? Duduk di tanah haram?” soalnya. – UTUSAN










