PETALING JAYA: Senarai nama 5.8 juta bakal pemilih muda (Undi18) sudah berada dalam semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) berserta dengan lokaliti mengundi, namun persoalannya mengapa tidak boleh dilaksanakan.
Jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi medan pertama untuk menguji pelaksanaan Undi18, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya menggerakkan proses itu setelah Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) yang menyaksikan had umur pengundi diturunkan kepada 18 tahun diluluskan sebulat surat di Parlimen, sejak tiga tahun lalu.
Sehingga kini isu teknikal dan perundangan sering menjadi alasan melengahkan Undi18 meskipun kerajaan memaklumkan menggunakan sistem berkaitan had usia kelayakan mengundi 18 tahun bermula Februari 2022. Namun pelaksanaan perlu disegerakan memandangkan pilihan raya mengejut boleh berlaku bila-bila masa seperti di Melaka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas Bersama Gerakan Undi18, Nur Qyira Yusri berkata, Undi18 tidak wajar dilengahkan, dengan SPR perlu mempercepatkan proses kemaskini data remaja berusia 18 tahun dan memasukkan mereka di dalam pendaftaran pengundi.
“Pilihan raya boleh berlaku pada bila-bila masa seperti mana PRN Melaka. Jadi semua ini merupakan kuasa dan bidang SPR dengan mereka boleh menyegerakan perkara ini agar memberi peluang pengundi berumur 18 tahun untuk memangkah kertas undi.
“Mereka boleh membuat pendaftaran sebelum pilihan raya berlangsung, jadi ini tidak wajar tunggu masa dan dilengahkan lagi,” katanya.
Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan SPR akan memastikan perkara membabitkan peraturan dan perundangan bagi pelaksanaan dua perkara itu selesai menjelang 31 Disember tahun ini, dan ia sedia digunakan awal tahun depan.
Katanya, SPR ketika ini sedang mempersiapkan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik, seperti yang diluluskan Parlimen pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-14.
Sekiranya Undi18 dapat dilaksanakan dalam terdekat, kemungkinan mereka akan menjadi penentu kepada masa depan kerajaan negeri Melaka selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan sekali gus memberi laluan kepada PRN dalam tempoh 60 hari. – UTUSAN










