Hotel di Port Dickson diserbu warga Lembah Klang - Utusan Malaysia

Hotel di Port Dickson diserbu warga Lembah Klang

Hotel dan pantai di Port Dickson dijangka menerima peningkatan kehadiran pengunjung pada hujung minggu ini.- UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hotel-hotel di Port Dickson mula menerima tempahan bilik sejak semalam daripada pelanggan terutama dari Lembah Klang yang mahu bercuti pada hujung minggu ini.

Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, kebanyakan hotel bersedia untuk menerima kehadiran lebih ramai tetamu malah kebanyakannya telah mula menerima peningkatan tempahan sejak semalam.

“Memang sebelum ini tetamu hotel di Port Dickson, 70 peratus daripadanya adalah datang dari Lembah Klang. Sebagai destinasi pelancongan pantai terhampir dengan Lembah Klang, kami jangka Port Dickson akan menjadi antara destinasi pertama mereka akan tuju.

“Sejak semalam kami mula menerima tempahan, ia semakin bertambah. Sebelum ini ramai yang telah membeli baucar penginapan dari hotel-hotel namun mereka masih belum menggunakannya lagi kerana kekangan sekatan rentas negeri.

“Sehubungan itu, kami jangka juga mereka akan mula menebus baucar tersebut untuk menginap bermula pada hujung minggu ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sementara tambah Haziz, hotel-hotel juga kini bersedia untuk kembali beroperasi dalam kapasiti penuh bagi menampung tambahan kehadiran pengunjung ke Port Dickson.

“Sebelum ini ketika sektor pelancongan dibuka di antara daerah, kebanyakkan hotel membuat tetapan untuk beroperasi dalam kapasiti 50 hingga 70 peratus daripada bilangan katil mereka sahaja kerana bagi mengelakkan kesesakan selain isu kekurangan pekerja.

“Kini dengan kehadiran semula jumlah pekerja yang mencukupi, kebanyakan hotel bersedia untuk beroperasi secara penuh namun mereka tentunya akan memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

“Kami sudah banyak menanggung kerugian, waktu ini memang sesuatu yang kami nanti-nantikan, bagaimanapun sudah tentu aspek pematuhan SOP akan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya sambil memberitahu selain penginapan, tempahan untuk penganjuran seminar dan mesyuarat juga semakin meningkat diterima. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN