Evolusi istilah khalwat terus diguna walau dipertikai

Evolusi istilah khalwat terus diguna walau dipertikai

PERKATAAN ‘khalwat’ memperlihatkan bagaimana bahasa hidup dan berubah selari dengan budaya dan persepsi masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengikut pemahaman pengguna bahasa Melayu sekarang, ‘khalwat’ merujuk situasi lelaki dan wanita yang bukan mahram dan bukan juga suami-isteri tetapi berdua-duaan di tempat terpencil sehingga boleh menimbulkan kecurigaan orang ramai.

Misalnya, berita di Utusan Malaysia bertajuk Janda anak tiga dicekup kerana berkhalwat kali kedua (4 Januari 2025) dan Lelaki menyorok di balkoni tingkat 19 elak dicekup khalwat (7 Mei 2025).

Namun begitu, dalam konteks asal bahasa Arab, istilah ‘khalwat’ berkaitan tindakan seorang individu memencilkan diri bagi tujuan mencari ketenangan atau bertafakur tanpa gangguan orang ramai.

Mungkin orang ramai sudah terlalu biasa menggunakan istilah ‘khalwat’ dalam konteks negatif sehingga ada seorang individu mengemukakan pertanyaan di laman sesawang rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada April 2013.

Sambil merujuk sebuah buku tulisan Nawawi Dusuki, individu dari Kota Kinabalu, Sabah bertanya sama ada ayat “(Nabi) Muhammad sedang bersendirian berkhalwat di dalam Gua Hira” dalam buku itu boleh diterima.

Perkataan yang digunakan, khasnya istilah pinjaman, biasanya mengalami perubahan, peluasan atau penyempitan makna dari semasa ke semasa. Begitulah juga perkataan ‘khalwat’ yang kita baca dan dengar hampir setiap hari.

Apabila saya meneliti beberapa bahan arkib, agak menarik untuk diperhatikan perbahasan tentang penggunaan istilah ‘khalwat’ oleh pelbagai pihak sejak 1960-an.

Antara berita terawal tentang kes khalwat yang saya temui dilaporkan di akhbar Singapore Standard (8 Oktober 1952) di mana Mohd Ludin Haji Yacob, 49, ditangkap berkhalwat dengan seorang wanita Melayu di sebuah hotel di Teluk Intan, Perak.

Maknanya, penggunaan istilah ‘khalwat’ dengan makna yang lazim kita fahami sekarang bukanlah sesuatu yang baharu kerana sudah digunakan dalam berita di akhbar sejak 1950-an.

Pada 8 Julai 1962, pegawai pencegah maksiat, Dahlan Mohd. Hanafiah menerangkan prosedur yang digunakan pihaknya bagi melakukan serbuan kes khalwat di Selangor.

Tentulah topik yang mahu dibincangkan di sini bukan mengenai hukum-hakam agama Islam berkaitan khalwat. Sebaliknya tentang penggunaan istilah itu yang menjadi perdebatan dalam kalangan orang Melayu pada suatu masa dahulu.

Menerusi sebuah akhbar tempatan pada 8 September 1962, seorang pelajar bernama Baharuddin D.H. dari Kajang, Selangor mengemukakan kemusykilan tentang penggunaan istilah ‘khalwat’ di akhbar.

Katanya, makna yang ditemuinya dalam teks agama Islam dan sastera Melayu amat berbeza dengan konteks penggunaan laporan berita di surat khabar.

Pertanyaan itu dijawab oleh ‘Pak Belalang’ yang menyelar para pejuang bahasa Melayu kerana berdiam diri dan tidak berani menegur penggunaan istilah itu.

“Perkataan yang begitu mulia dan suci, yang hanya boleh digunakan untuk menerangkan perhubungan manusia dengan Tuhan, sekarang telah digunakan untuk menerangkan dua asyik maksyuk yang tenggelam dibawa runtunan hawa nafsu,” katanya.

Perbahasan tentang istilah ini menjadi lebih hangat apabila Tan Sri Aishah Ghani menimbulkannya dalam sidang Dewan Negara pada 3 Jun 1963.

Sambil mendakwa istilah itu sudah disalah erti dan disalah guna pihak akhbar, beliau menggesa pakar bahasa Melayu tampil membuat teguran.

KEMATANGAN ISTILAH

Kita pada hari ini mungkin hairan mengapa penggunaan istilah ‘khalwat’ dipertikai. Namun begitu, sebenarnya apa yang berlaku sejak 1960-an menunjukkan proses pematangan istilah dan peluasan makna dalam penggunaan bahasa oleh masyarakat.

Cadangan Aishah mendapat maklum balas jurucakap Penyimpan Mohor Raja-raja Melayu. Katanya, Jawatankuasa Tetap Majlis Agama Raja-raja Melayu sedang mencari istilah yang lebih tepat.

“Penggunaan satu-satu perkataan itu terpulanglah kepada orang ramai. Jawatankuasa ini sedang mencari perkataan atau istilah yang tepat untuk digunakan oleh mahkamah ketika mendakwa orang melakukan kesalahan yang selama ini dipanggil berkhalwat.
Sementara itu, bolehlah digunakan terus perkataan khalwat itu,” katanya kepada wakil media pada waktu itu.

Beberapa hari kemudian, seorang wartawan tempatan mengulas isu istilah ini. Dia mengakui istilah ‘khalwat’ begitu sesuai dan tepat sehingga orang ramai dan surat khabar keberatan menggugurkan penggunaannya.

Katanya, istilah ‘tangkap basah’ mungkin menimbulkan pertanyaan yang nakal daripada orang ramai. Istilah ‘sekedudukan’ juga dikatakan kurang sesuai kerana mungkin posisi lain digunakan pasangan terbabit.

Topik itu terus dibincangkan sehinggalah Persidangan Islam SeMalaysia pada 7 Mac 1969 meluluskan usul supaya istilah ‘khalwat’ ditukar kepada perkataan lain yang lebih tepat.

Tetapi, timbul pula masalah mencari perkataan lain. Bekas Imam Masjid Negara, Salleh Hassan Farid mengusulkan istilah ‘bermukah’ yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah.

Cadangan itu dibantah seorang perwakilan yang berpendapat ‘bermukah’ bermaksud berzina atau berlaku persetubuhan secara haram, sedangkan ‘berkhalwat’ tidak semestinya melibatkan perbuatan zina.

Bagi wakil Melaka, ‘khalwat’ dan ‘zina’ adalah sama. Wakil Negeri Sembilan mencadangkan ‘sumbang kepada pemandangan’ manakala wakil Johor mengusulkan ‘bercumbu-cumbuan’.

Bekas Mufti Selangor, Datuk Ghazali Abdullah meminta istilah ‘khalwat’ terus digunakan dengan huraian maksud bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dari segi perundangan.

Akhirnya, Bekas Menteri Tanah dan Galian, Datuk Abdul Rahman Yaakub selaku pengerusi persidangan memutuskan, usul penukaran istilah ‘khalwat’ diterima tanpa menetapkan apakah perkataan yang sesuai digunakan sebagai ganti.

Pada 21 April 1969, Ismail H.R. dari Besut, Terengganu dalam surat kepada editor sebuah akhbar mencadangkan ejaan ‘kulwat’. Katanya, ia kependekan bagi ‘Lelaki dan wanita berkurung sepakat atau bersama-sama’.

Topik itu kembali hangat dua dekad kemudian. Pada 25 Ogos 1989, Muhammad Ariff Ahmad mencadangkan istilah ‘tuna berahi’. Kata ‘tuna’ dalam bahasa Sanskrit bermakna “rugi, tanpa, rosak, kurang, tidak teratur”.

Kini, kita menggunakan ‘tunafoto’ bagi ‘photobomb’. Manakala dalam bahasa Indonesia, ada tuna karya (menganggur), tuna susila (rosak akhlak), tuna wicara (bisu), tuna netra (buta) dan tuna wisma (gelandangan).

Apa-apa pun, sehingga kini, kita masih menggunakan istilah ‘khalwat’ tanpa bantahan sesiapa.-UTUSAN

 

 

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN