PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan harga lantai bagi mengerjakan umrah untuk 12 hari dan 10 malam ialah RM6,900 bagi setiap jemaah.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataannya berkata, penetapan harga lantai itu dipersetujui dengan persatuan pengendali umrah di negara ini.
Menurut kenyataan itu, kali terakhir penetapan harga lantai itu dibuat pada tahun 2017 iaitu RM4,900.
“Harga lantai itu dibuat selepas terdapat peningkatan kos memandangkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sama ada di Arab Saudi atau Kerajaan Malaysia.
“Antara faktor-faktor yang mempengaruhi peningkatan kos adalah bilangan kapasiti di dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50 peratus daripada jumlah kapasiti sebenar dan pengurusan mutawif serta ujian pengesanan Covid-19,” kata kenyataan itu, semalam.
Katanya, harga lantai ini akan disemak semula apabila wabak Covid-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal yang mana kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan antara kedua-dua kerajaan.
Jelasnya, harga ini juga dijadikan panduan bagi pihak MOTAC dalam melaksanakan pemantauan terhadap industri umrah selain membolehkan orang ramai membuat pertimbangan dalam memilih syarikat mana yang sesuai dengan bajet mereka.
MOTAC berkata, orang ramai boleh mengambil langkah berhati-hati jika didapati harga yang ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi daripada yang ditetapkan bagi mengelak kes-kes penipuan pakej umrah.
“Orang ramai boleh menghubungi pejabat MOTAC negeri atau melayari laman web rasmi MOTAC bagi mengenal pasti syarikat-syarikat yang dilesenkan,” kata kenyataan itu. – UTUSAN










