KUALA LUMPUR: Seramai 85,921 orang pelancong telah bercuti ke Pulau Langkawi sejak dijadikan sebagai projek rintis gelembung pelancongan domestik pada 16 September lalu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah itu meliputi seramai lebih 58,000 orang pengunjung yang telah tiba melalui pintu masuk udara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi setakat 12 Oktober 2021.
“Selebihnya, iaitu lebih 27,000 orang pengunjung lagi telah tiba di Langkawi melalui pintu masuk laut, menjadikan jumlah keseluruhan pelancong yang mengembara menggunakan gelembung pelancongan ini semasa tempoh tersebut adalah seramai 85,921 orang pengunjung,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Pada masa sama, Nancy berkata, menurut maklum balas yang diterima daripada Persatuan Hotel Malaysia (MAH), kadar purata penginapan di premis-premis penginapan pelancong di Langkawi bagi tempoh tujuh hari pertama bulan Oktober 2021 meningkat sekurang-kurangnya lebih 15 peratus.
“Sebanyak 45 peratus bagi premis penginapan pelancong bertaraf empat hingga lima bintang dan 21 peratus bagi premis penginapan pelancong bertaraf tiga bintang dan ke bawah.
“Dalam tempoh yang sama, Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) melaporkan kadar purata penginapan bagi premis-premis penginapan pelancong ahli-ahlinya adalah 15 peratus,” katanya.
Tambahnya, sektor-sektor rantaian industri pelancongan lain seperti sektor
makanan dan minuman, serta peruncitan juga menikmati kesan gandaan yang dijana oleh aktiviti pelancongan di Langkawi.
“Dalam lawatan kerja saya ke sana empat hari yang lalu, saya sendiri telah berpeluang melihat bagaimana Pantai Chenang, salah satu destinasi tumpuan di Langkawi, kembali sibuk dan ceria dengan kehadiran ramai pengunjung dan pelancong. Ini sangat berbeza dengan keadaan gambar-gambar yang tular sebelum ini,” katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Ahmad Yahaya mengenai sejauh mana sambutan pelancong tempatan ke Pulau Langkawi selepas dibuka semula pada 16 September lalu.
Dalam soalan tambahan, Nancy mengesahkan bahawa kerajaan bercadang untuk membuka pintu masuk negara untuk pelancong asing dan sudah dicadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini.
“Saya baru sahaja mengemukakan cadangan ini dalam mesyuarat MKN. Saya cadangkan dibuka kepada beberapa negara untuk ke Pulau Langkawi dahulu, untuk projek rintis.
“Insya-Allah, kita tunggu pengumuman Perdana Menteri sebab kita sudah buka ruang ini kepada pihak luar dan mengharapkan lebih ramai akan datang kerana ini salah satu cara kita mengembangkan ekonomi,” katanya.
Tambah Nancy, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) amat penting bagi menjayakan satu-satu gelembung pelancongan.
“Apa yang kita pelajari dari Langkawi adalah pematuhan SOP amat penting, kita wujudkan Langkawi sebagai gelembung supaya menjadi pulau yang semua orang sudah dos lengkap, menjadi contoh kepada pulau lain.
“Kita mahu Langkawi kekal sebagai gelembung dan diikuti pulau serta destinasi lain, supaya mereka patuhi SOP dan kekal menggunakan pelitup muka, sanitasi tangan dan menjaga jarak fizikal,” katanya. -UTUSAN ONLINE










