PETALING JAYA: Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) menyatakan kesediaan dan hasrat untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atas tiket bebas sama ada melalui platform persatuan itu atau Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Awam Darat (PPDM).
Yang Dipertuanya, Kamarudin Hussain berkata, keputusan itu diambil bagi membawa satu perubahan dengan mengangkat pemain industri untuk duduk di kerusi yang sepatutnya berbanding ahli politik yang tidak pernah merasai keperitan dan kepayahan hidup rakyat untuk membuat dasar.
Bagaimanapun katanya, pihaknya menghormati kesepakatan yang terjalin dalam PPDM untuk tidak memutuskan sebarang keputusan sama ada akan bertanding di atas platform GTSM atau sebaliknya.
“Kita akan adakan mesyuarat 20 oktober ini dan perkara ini akan dibincangkan sama ada turun bertanding secara PPDM atau secara persendirian, tetapi itu tidak mustahil
“Di peringkat awal, GTSM memang mempunyai hasrat (bertanding di PRN Melaka), tetapi kita tak mahu langgar kesepakatan yang dibuat dalam PPDM.
“Jika PPDM mahu turun bertanding, kita akan turun dengan platform PPDM, tetapi jika sebulat suara tak mahu turun, maka kita turun dengan GTSM, namun jika PPDM tak bersetuju GTSM turun, maka kita akur keputusan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Rabu lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan, satu Mesyuarat Khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15 akan diadakan Isnin esok.
Ini selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi ADUN iaitu Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
PPDM sebelum ini juga menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi membolehkan masalah yang dihadapi pemain industri tersebut sejak sekian lama dapat diselesaikan.
Perkara itu berikutan kesedihan dan kekecewaan di atas ketidaksungguhan semua Menteri Pengangkutan sama ada daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan kini Keluarga Malaysia dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
Menurut Kamaruddin, pihaknya juga tidak menafikan kemenangan nanti berkemungkinan sukar apabila perlu bertanding melawan parti ebsar yang lebih dikenali.
“Namun, kita berlandaskan kepercayaan terhadap Allah kerana tiada yang mustahil dalam dunia ini.
“Dalam keadaan hari ini kita dapat melihat rakyat berbahagi hati untuk mengundi mana-mana parti yang ada, maka sekiranya kita turun ke sana dan mampu membuka minda rakyat dan beritahu mereka apa yang sedang berlaku, saya percaya tidak mustahil masyarakat memberikan undi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










