Enam beradik piatu, Zahuri dibantu - Utusan Malaysia

Enam beradik piatu, Zahuri dibantu

WAKIL MediaMulia Sdn. Bhd., Zuid Samson (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Nul Aziza Rosani, 14, di bawah Program Jelajah Ikhlas Bersama CSR di Batu 9 Tangga Batu, Tanjung Kling, Melaka. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Enam beradik yatim piatu dari Kampung Pekan Tangga Batu di sini sangat teruja dan tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke sekolah buat pertama kali dalam sejarah hidup mereka.

Sebelum ini, mereka tidak dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain seusia kerana tidak memiliki sijil kelahiran.

Hanya kakak sulung, Nul Aziza Rosani, 14, sempat bersekolah agama manakala adik-adik yang lain sekadar duduk di rumah.

Namun, pendedahan Utusan Malaysia pada 8 Jun lalu telah mendapat perhatian Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang  datang menziarahi dan menyerahkan sijil kelahiran.

Malah, mereka turut dijanjikan akan dibantu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka bagi menempatkan adik beradik itu ke sekolah  berdekatan.

Nul Aziza mengakui, dia serta adik-adik yang lain berasa malu apabila melihat rakan seusia bersekolah, sedangkan hasrat mereka  terhalang kerana kekangan sebelum ini.

“Alhamdulillah sekarang kami sudah ada sijil lahir dan sudah boleh bersekolah seperti kanakkanak lain.

“Kami dah tak sabar nak bersekolah kerana inilah yang dipendam sejak sekian lama dan impian kini sudah jadi kenyataan,” katanya ketika ditemui.

Di ALOR GAJAH, seorang tukang kasut, Zahuri Omar, 46, terpaksa menebalkan muka memohon bantuan orang ramai secara terbuka  melalui laman sosial kerana sudah buntu memikirkan cara mencari rezeki, demi sesuap nasi.

 ZAHURI Omar membaiki kasut pelanggan bagi menampung pembelanjaan harian keluarga di Klinik Kasutnya di Masjid Tanah, Melaka.

Kata Zahuri, meskipun kerajaan menyediakan bantuan seperti Geran Khas Prihatin (GKP) untuk memastikan kelangsungan peniaga kecil, namun ia dilihat sia-sia tanpa kebenaran beroperasi.

“Memang kerajaan ada bantu melalui GKP dan sebagainya. Saya pun ada terima tetapi duit itu peniaga macam kami guna sebagai modal, untuk beli barang-barang keperluan perniagaan.

“Barang sudah dibeli, tiba-tiba tidak dibenarkan beroperasi. Memang buntulah jadinya sebab kita tidak boleh pusing semula modal  untuk dapatkan keuntungan. Saya terpaksa tebalkan muka minta bantuan orang ramai.

“Apabila sudah terima GKP, maka secara automatik saya tidak layak terima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). Sementara tunggu Fasa 2  Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebelum ini, saya hendak jahit apa untuk cari pendapatan,” katanya ketika ditemui di klinik kasutnya di  pekan Masjid Tanah di sini.

Baru-baru ini, Nul Aziza dan adik-adiknya serta Zahuri Omar menerima kunjungan Jelajah Ikhlas Bersama CSR anjuran bersama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR), Era Foods MY dan Media Mulia Sdn. Bhd. (MMSB) yang bukan sahaja memberikan bakul makanan tetapi juga sumbangan wang berjumlah RM1,000.

Sila layari Facebook Utusan Online & Kosmo Online untuk menonton video penuh program Jelajah Ikhlas pada 8 Oktober 2021, pukul 12 tengah hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya