Cubaan seludup alat ganti kenderaan, minuman keras bernilai RM2.6 juta dipatahkan - Utusan Malaysia

Cubaan seludup alat ganti kenderaan, minuman keras bernilai RM2.6 juta dipatahkan

SAZALI Mohamad (lima dari kiri) menunjukkan minuman keras yang diseludup dipercayai bagi mengelak cukai pada sidang akhbar di Menara Kastam di Johor Bahru. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya merampas alat ganti kenderaan dan minuman keras bernilai RM2.6 juta yang cuba diseludup masuk ke negara ini dalam dua operasi berasingan pada 30 September dan 8 Oktober lalu.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, pihaknya telah mengesan cubaan kegiatan itu di sempadan Malaysia-Singapura, namun tangkapan dibuat setelah sindiket terbabit memasuki negara ini bagi mengukuhkan lagi proses pendakwaan.

“Dalam operasi pertama pada 30 September lalu, JKDM Johor telah merampas 9,364 alat ganti kenderaan mewah dengan menahan sebuah lori kontena di Jalan Bertingkat Skudai, Kampung Pasir pada pukul 5.30 petang.

“Pemeriksaan dibuat mendapati pihak berkenaan mengikrar jumlah alat ganti kenderaan yang bernilai lebih rendah untuk mengelak membayar cukai sepatutnya.

“Barangan alat ganti kenderaan yang dirampas sebanyak RM363,340, manakala lori kontena bernilai RM80,000 dengan nilai duti dan cukai terlibat berjumlah RM145,763.25,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat JKDM Johor, di sini hari ini.

Sementara itu, Sazali memberitahu, dalam operasi kedua pula, pihaknya telah menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan sebanyak 12,988 liter.

“Dalam operasi pada pukul 9 pagi itu, JKDM Johor merampas sebuah lori kontena di Plaza Tol Kempas menghala utara yang dipercayai sedang dalam perjalanan ke ibu negara.

“Pemeriksaan mendapati 17,000 botol minuman keras dianggarkan bernilai RM324,720 dengan jumlah duti dan cukai sebanyak RM1,722,954.82. JKDM Johor turut merampas lori kontena bernilai RM100,000 dalam operasi berkenaan,” ujarnya.

Sazali berkata, sindiket yang cuba menyeludup minuman keras itu bertindak mengikrar barangan dibawa sebagai campuran nutrien mineral dengan tujuan mengelak dikesan agensi penguatkuasaan.

Katanya, tiga lelaki tempatan berusia 34 hingga 56 tahun yang terdiri daripada dua pemandu dan seorang kelindan dalam kedua-dua serbuan itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(e) akta sama.

Ujarnya, kejayaan itu turut dibantu hasil maklumat diterima daripada orang awam dan beliau ters menggesa masyarakat untuk membantu JKDM Johor memerangi jenayah penyeludupan khususnya melibatkan rokok, minuman keras dan barangan kontraban lain.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti berkenaan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam iaitu 1800-88-8855 atau pejabat JKDM terdekat,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN