TELUK INTAN: Kontraktor pembinaan di sini mendakwa harga bahan binaan iaitu besi naik mendadak daripada RM2,800 bagi satu tan sehingga RM4,000 satu tan.
Ini menyebabkan ada kontraktor yang terpaksa menangguhkan pembinaan bangunan atau rumah yang sedang dilakukan.
Pengerusi Persatuan kontraktor Bumiputra (PKBM) Daerah Teluk Intan, Jaafar Mohamed Noor berkata, beberapa hari lalu banyak rungutan mengenai kenaikan harga besi di daerah ini sehingga mendatangkan masalah untuk menyiapkan projek pembinaan yang mereka peroleh.
“Ada kontraktor yang terpaksa meneruskan juga binaan rumah walaupun terpaksa menanggung kerugian disebabkan harga besi yang naik.
“Mereka berbuat demikian untuk mengelak lesen digantung. Mahu tak mahu mereka kena teruskan juga demi menjaga keharmonian kontraktor di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut beliau, pembekal bahan binaan mendakwa kenaikan harga besi disebabkan bahan binaan itu sukar dibuat tempahan kerana permintaannya yang tinggi.
Katanya, di Teluk Intan terdapat kira-kira 600 kontraktor yang berdaftar menyatakan rasa kecewa dengan kenaikan harga tinggi, sehingga ada yang tidak dapat meneruskan pembinaan yang sedang mereka jalankan.
“Ada juga yang projek sudah separuh tapi tidak dapat disiapkan sepenuhnya kerana tuan rumah tidak mampu bayar harga baharu disebabkan kenaikan harga besi.
Jaafar berharap kerajaan mewujudkan satu badan pemantau harga barang binaan yang lain.
“Bahan binaan lain seperti simen, kayu, batu, pasir, paku dan atap juga naik harga, ini menimbulkan persoalan kepada kontraktor,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga bahan pembinaan atau hardware di Kampung Bahagia di sini, Nor Azlan Yahya, 37, berkata, peniaga sepertinya menerima harga besi yang tinggi daripada pihak kilang.
“Kami tak boleh buat apa, terpaksa jual ikut harga kilang. Kilang bagi kami harga tinggi, jadi kami peniaga pun ikut harga tinggi,” katanya.
Menurutnya, kenaikan harga besi menjejaskan kontraktor yang sudah masuk sebut harga dan kerja yang sedang berjalan bagi sesuatu projek pembinaan yang diluluskan oleh pihak jabatan.- UTUSAN










