TEMERLOH: Kampung Berhala Gantang dalam daerah ini adalah kawasan perkampungan Melayu yang unik kerana namanya didahului perkataan berhala yang biasanya ditafsirkan sebagai patung, objek yang disembah, dipuja dan diagung-agungkan.
Difahamkan, persoalan dan polemik tentang nama Berhala Gantang wujud sekian lama oleh generasi demi generasi di situ ekoran kewujudannya sebelum kedatangan Inggeris di Pahang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengetua Pusat Tahfiz Al-Amin Kampung Berhala Gantang, Wahid Abdul Ghaffar Ibrahim berkata, kedudukan kampung itu kira-kira enam kilometer dari Temerloh dan berhampiran Sungai Pahang, menjadi persinggahan utama pedagang, alim ulama dan raja-raja pada era pemerintahan Bendahara Johor-Riau.
Beliau berkata, di perkampungan tersebut, lahir ramai alim ulama dan wujudnya pusat-pusat dakwah yang aktif pada pertengahan abad ke-18 hingga abad ke-21.
“Walaupun nama Berhala Gantang tetapi secara lahiriah kampung ini menjadi pusat perkembangan Islam aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah di Pahang sehingga hari ini.
“Nama Berhala Gantang tidak langsung menjejaskan akidah dan kepercayaan penduduk di sini kerana ia sekadar nama walaupun mungkin orang luar menganggap sebagai tempat banyak kuil,” katanya di sini semalam.
Wahid yang juga anak jati Kampung Berhala Gantang berkata, di kampung itu tertubuhnya Sekolah Pondok Al-Wosto diasaskan Tuan Guru Hassanuddin Mohamad sekitar 1915 yang mempunyai kira-kira 400 murid dari seluruh Tanah Melayu.
“Di Kampung ini terdapat juga Sekolah Tahfiz Al-Amin yang diasaskan oleh saya sendiri pada 1996 sebagai kesinambungan Sekolah Pondok Al-Wosto yang mempunyai lebih 100 murid,” katanya.
Beliau berkata, sebagai rujukan salah seorang ulama yang lahir dari pengajian agama di Kampung Berhala Gantang ialah Kadi Ibrahim Hurairah yang juga dikenali sebagai Kadi Ibrahim Berhala Gantang.
“Kadi Ibrahim ialah Kadi Pahang yang pertama pada era Sultan Pahang pertama Sultan Ahmad Muadzam Shah dan menjadi watak penting menghalang hasrat Inggeris membina gereja di pinggir Sungai Pahang yang menjadi tumpuan orang,” katanya.
Bercerita lanjut, beliau berkata, nama Kampung Berhala Gantang mungkin daripada perkataan ‘menghala’ untuk melihat objek gantang besar iaitu bekas menyukat padi.
“Lama kelamaan nama itu bertukar kepada Berhala Gantang tanpa ada kaitan langsung dengan berhala sembahan penganut Buddha.
“Versi lain ada menyebut kemungkinan memang wujud berhala emas atau patung Buddha di sini pada era Pahang di bawah kuasa kerajaan Siam,” katanya.
Menurutnya, kampung tersebut diambil alih seorang ulama awal Pahang yang berasal dari Minangkabau, Shahibudin Zainal Abidin atau Tok Shahibudin sekitar tahun 1760-an sekali gus menamakan tempat ini dengan Kampung Berhala Gantang. – UTUSAN