TELUK INTAN: Bangunan balai polis lama di Jalan Bandar di sini yang berusia lebih 100 tahun mendapat perhatian Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah.
Baginda yang mengadakan lawatan ke beberapa tempat di sekitar Teluk Intan kelmarin turut berkenan meninjau keadaan bangunan balai polis lama itu.
Titah baginda, bangunan itu sepatutnya dijaga kerana ia mempunyai nilai sejarah.
“Sepatutnya bangunan ini dijaga, sebab ini bangunan lama, kalau diruntuhkan pun nak buat apa, elok dipulihara kerana di sini sudah ada bangunan balai polis baharu.
“Bangunan balai polis lama ini wajar dipulihara untuk tarikan pelancong,” titah baginda kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Raja Nazhatul Shima bertitah, bangunan-bangunan lama yang terdapat di Perak dan di Teluk Intan tidak sepatutnya diabaikan sebaliknya perlu dibaik pulih.
“Seperti di Teluk Intan, saya lebih sukakan suasana bangunan-bangunan lama yang ada ciri-ciri kemelayuan manakala Menara Condong, ada ciri-ciri seni dan budaya masyarakat Cina, biarlah ia begini,” titah baginda.
Dalam lawatan baginda di Teluk Intan, Raja Nazhatul Shima turut berkenan melawat Istana Raja Muda, Sekolah Convent, Menara Condong dan Madrasah Al-Ihsaniah.
Sebelum ini, akhbar ini menyiarkan laporan balai polis lama yang terbiar dengan keadaan bahagian dalam dan sekeliling kawasan bangunan semak samun.
Menurut sejarah, Residen British di Perak, Hugh Low merupakan individu yang bertanggungjawab membina banguan itu.
Dikatakan, pada asalnya, bangunan itu dibina sebagai bangunan pentadbiran Kastam yang mengurus tadbir bandar Teluk Anson setelah nama bandar Teluk Mak Intan ditukar kepada Teluk Anson pada tahun 1882.
Malah, balai polis lama itu adalah antara bangunan yang masih utuh hingga hari ini apabila bandar Teluk Anson dirasmikan pada tahun 1882. – UTUSAN










