Bahan binaan mahal tangguh projek dewan makan pelajar tahfiz - Utusan Malaysia

Bahan binaan mahal tangguh projek dewan makan pelajar tahfiz

PEMBINAAN bangunan Maahad Tahfiz Abu Bakar di Kampung Kubang Gendang, Pasir Mas, Kelantan tergendala ekoran pengurusannya tidak mampu membayar kos yang meningkat. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Gara-gara kenaikan harga besi, pembinaan dewan makan Maahad Tahfiz Abu Bakar (MTAB) di Kampung Kubang Gendang di sini tertangguh.

Kos pembinaan dewan makan yang boleh memuatkan 100 pelajar di kampus baharunya itu menjangkau RM500,000 daripada harga asal RM300,000.

Kerja-kerja membina blok yang turut menempatkan dapur utama serta kelas di pusat tahfiz persendirian itu terhenti separuh jalan kerana dana sedia ada tidak mencukupi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Unit Luar MTAB, Che Abdul Razak Che Mahmood berkata, kos asal pembinaan blok itu meningkat hampir sekali ganda ekoran kenaikan harga bahan binaan di negeri ini.

“Selepas tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu, projek ini baru sahaja disambung semula bulan lepas. Namun, kami terkejut mendapat tahu kos meningkat tinggi akibat kenaikan harga bahan.

“Harga besi sebagai kerangka utama sahaja sudah begitu mahal, belum dikira harga item lain. Kos baharu ini di luar kemampuan kami yang menggunakan derma orang ramai bagi membiayai projek ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sebagaimana di negeri-nege­ri lain, harga besi di Kelantan turut melambung hampir RM3,800 satu tan berbanding harga lama sekitar RM2,500 hingga RM2,800 satu tan.

MTAB selama ini menyewa bangunan di Tanah Merah sebelum mengumpul dana untuk membina kampus sendiri di tanah wakaf seluas satu hektar di kampung berkenaan.

Antara yang berjaya di­siapkan setakat ini, bangunan setinggi tiga tingkat yang me­nempatkan asrama untuk pelajar, pejabat pentadbiran, bilik hafazan, bilik guru, dewan serbaguna dan surau selain dua unit rumah untuk guru.

Che Abdul Razak berkata, di samping kenaikan harga bahan asas binaan seperti simen, pasir, batu-bata, paku, komponen bumbung serta batang paip, kerja-kerja pendawaian elektrik juga membabitkan kos yang besar.

Dalam masa sama kata beliau, sumbangan orang ramai yang diterima pusat tahfiz itu, sama ada dalam bentuk wang atau bahan asas binaan semakin berkurangan pada musim pandemik Covid-19.

“Pada bulan ini, pihak pengurusan sepatutnya perlu melunaskan bayaran RM50,000 kepada kontraktor namun akibat kekurangan dana, kita hanya mampu bayar RM30,000 sahaja dahulu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini