Antivaksin penjara diri sendiri? - Utusan Malaysia

Antivaksin penjara diri sendiri?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan yang enggan divaksin kini boleh diibaratkan seperti sengaja memenjarakan diri sendiri kerana pergerakan mereka ke mana-mana sangat terhad.

Demikian ditegaskan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar yang berkata, kumpulan itu berisiko mengalami segala bentuk sekatan pergerakan, malah bakal hidup ibarat dipenjara.

Beliau berkata, segala sekatan yang dikenakan terhadap kumpulan itu bukan satu bentuk diskriminasi, sebaliknya kerana kerajaan memberi keutamaan kepada kemaslahatan umum berbanding kepentingan individu.

Menurut beliau, kumpulan itu yang merangkumi kira-kira 10 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia dikhuatiri membebankan sistem kesihatan negara.

“Terpenjara akibat segala sekatan itu, maknanya pilihan sendiri. Kamu pilih mahu dipenjara. Contohnya orang yang suka bawa kereta laju, setahun ada 10 saman. Jadi, dia kena terima hakikat, kalau dia tak mahu kena saman dia kena bawa perlahan. Itu sahaja.

“Baki 10 peratus yang enggan divaksin ini, kalau kena Covid-19 mereka akan membebankan sistem kesihatan kita. Kalau kena masuk unit rawatan rapi (ICU) sebab Covid-19 misalnya, orang yang mahu dapatkan rawatan lain dah tak boleh masuk, ini yang doktor hospital marah.

“Sebab kamu tak ambil vaksin, kena Covid-19 maka ICU penuh semula. Orang diabetes kena potong kaki, tak boleh sebab ICU dah penuh, contohnya,” katanya kepada Mingguan Malaysia, kelmarin.

Berhubung majikan yang didakwa mendiskriminasi kakitangan yang enggan divaksin, Zainal Ariffin menjelaskan, kumpulan tersebut sebenarnya memberi bebanan kepada syarikat mereka bekerja.

Ini kerana, kata beliau, mereka berpotensi mencetuskan kluster di tempat kerja masing-masing dengan menjadi penyebar wabak Covid-19, sekali gus menjejaskan produktiviti syarikat.

“Kita tahu, beban kepada majikan sekiranya berlaku kes Covid-19. Produktiviti syarikat atau organisasi berkurangan, perkhidmatan terganggu dan ini memberi beban kepada syarikat jika kakitangan mereka tiada vaksin.

“Contohnya satu-satu restoran itu kalau kita tahu pekerjanya mereka tiada vaksin, pelanggan pun tak mahu pergi restoran itu. Mereka yang akan rugi. Jadi itu adalah hak organisasi dan pekerja mesti patuh kepada organisasi selagi ia tak melanggar peraturan negara,” katanya.

Namun begitu, beliau berpendapat, kerajaan harus mencari kaedah yang seimbang antara menjaga kepentingan komuniti dengan kumpulan yang menolak vaksin.

Ini lebih-lebih lagi setelah ada beberapa cadangan daripada segelintir doktor awam, yang mengesyorkan agar golongan tidak divaksin harus membiayai sepenuhnya kos rawatan hospital, jika mereka diserang Covid-19 kronik.

Hal ini, kata beliau, bercanggah dengan etika perubatan universal yang menjelaskan bahawa semua orang harus diberi akses kepada rawatan perubatan.

“Ada cadangan doktor-doktor yang berkata kalau individu yang tak vaksin itu sakit, suruh dia bayar rawatan. Ini seolah-olah mahu hukum individu yang tak vaksin. Tetapi kita ada etika perubatan. Maksudnya perubatan ini bersifat universal, semua orang harus dapat akses.

“Kita yakin bahawa etika perubatan kita masih sama dengan yang lain. Kita memberi kebebasan, maknanya kalau mahu ambil vaksin atau tidak, itu hak masing-masing. Tetapi pada masa sama, sebab pandemik teruk dan beban hospital tinggi, maka kemaslahatan komuniti itu lebih utama dan penting berbanding individu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×