Anak ikan rupanya, bukan sisa pencemaran  - Utusan Malaysia

Anak ikan rupanya, bukan sisa pencemaran 

VIDEO tular tiga individu  membuang sisa ke dalam Sungai Kinta di Jalan Sultan Iskandar di Ipoh. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Video tular mendakwa sekumpulan individu membuang bahan tidak diketahui dipercayai sisa-sisa pencemaran ke dalam Sungai Kinta, di sini adalah tidak benar.

Sebaliknya, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul berkata, bahan yang dilepaskan itu adalah anak ikan yang merupakan upacara keagamaan bagi kaum Cina.

“Pegawai JAS telah mengenal pasti individu terlibat berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan yang dipaparkan dalam video tular itu dan ke rumah mereka bagi menjalankan siasatan.

“Berdasarkan siasatan, apa yang berlaku adalah merupakan aktiviti melepaskan anak ikan sebagai upacara keagamaan orang Cina yang memang dilakukan setiap tahun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga telah ke lokasi kejadian dan menjalankan persampelan insitu di tiga lokasi serta pemerhatian visual keadaan air sungai.

Katanya, daripada pengukuran insitu menunjukkan keadaan air sungai tidak merekodkan parameter tidak normal.

“Pemerhatian juga mendapati tiada kelihatan ikan mati atau apa-apa situasi yang menunjukkan pencemaran,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 44 saat itu memaparkan sekumpulan tiga individu didapati membuang sesuatu seperti cecair dari enam tong plastik berwarna biru sebelum kesemuanya beredar menaiki sebuah kereta yang diletakkan di tebing Sungai Kinta di Jalan Sultan Iskandar.

Video yang dikongsi pelayar laman sosial Facebook dan Twitter itu mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai termasuk mengecam tindakan mereka yang dikatakan tidak bertanggungjawab. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN