TAMPIN: Kereta perisai buatan turki, ACV 300 Adnan-Bakytar Shikan ATGW milik tentera darat antara aset yang ditonjolkan keupayaannya dalam Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2021 di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini semalam.
Aset pertahanan seberat 14 tan metrik dilengkapi dengan pelancar misil antiperisai buatan Pakistan Baktar Shikan antara yang mencuri perhatian dalam acara latihan kira-kira dua jam itu.
Mampu menempatkan enam kru dalam satu-satu masa, ACV 300 Adnan-Bakytar Shikan ATGW turut dilengkapi dengan senjata meriam penembak dan mesingun serta sistem RVH TacNav GPS, alat amaran leser LWD Avimo, penembak grenet 76mm, sistem tapisan NBC dan sistem penglihatan malam SNVVS-2.
LTK yang kembali diadakan selepas tidak berlangsung tahun lalu ekoran pandemik Covid-19 turut menampilkan keupayaan 106 buah aset dan persenjataan lain termasuk penglibatan 969 pegawai dan anggota.
Antara aset yang turut terlibat dalam latihan tersebut adalah kenderaan perisai Pendekar, Gempita, Lipan Bara dan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV).
Aset persenjataan pula merangkumi persenjataan kecil hingga ke senjata berkaliber besar seperti Unit Lancar Berganda (ULB) Astros Ii, Meriam 155 MM G5 MK III, Meriam 105 MM PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGW) Ingwe, Baktar Shikan, Mortar 81MM dan Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40MM).
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang yang turut menghadiri latihan tersebut berkata, LTK 2021 itu mempamerkan kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menggalas tugas utama iaitu bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
“Pada masa yang sama, keupayaan yang ditonjolkan adalah sebagai keyakinan kepada rakyat bahawa kesiagaan ATM dalam pelaksanaan tugas utama tidak terjejas walaupun tumpuan semasa diberikan kepada membantu negara menangani wabak Covid-19.
“Penyatuan kuasa tembakan yang diperagakan hari ini memperlihat keupayaan serta kredibiliti sebenar ATM bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN ONLINE