Adakan harga siling besi - Utusan Malaysia

Adakan harga siling besi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan dicadang­kan memperkenalkan harga si­ling besi bagi mengawal kos bahan binaan itu terus meningkat.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Melayu Malaysia (PKMM) Kedah, Mohammad Fauzee Mohamad berkata, pihaknya bimbang harga besi akan terus melambung sekiranya tiada tindakan diambil untuk mengawal harganya.

Katanya, harga besi yang mencecah kira-kira RM4,000 satu tan berbanding RM3,600 bulan lalu membebankan 6,485 kontraktor kecil kelas G1 dan G2 di negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kontraktor G1 hingga G2 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) terpaksa menanggung kos tinggi dalam sesuatu projek yang dilaksanakan.

“Harga besi di pasaran me­ningkat pada setiap masa kerana harga bahan binaan itu tidak dikawal kerajaan.

“Pihak pembekal pula memberi alasan mereka menaikkan harga mengikut harga pasaran dunia,” katanya ketika dihubu­ngi di sini semalam.

Mohammad Fauzee berkata, kebanyakan kontraktor di negeri ini membeli besi daripada pengilang dan pembekal dari Pulau Pinang.

Selain itu, beliau menambah, Kementerian Kewangan juga disaran menawarkan perubahan harga (VOP) kepada kontraktor G1 dan G2 bagi mengelakkan mereka terbeban dengan kenaikan harga besi dan bahan binaan lain.

Menurutnya, pada masa ini, kontraktor G3 hingga G7 yang melaksanakan projek kementerian ditawarkan VOP sehingga Disember ini.

“PKMM Kedah juga merayu kerajaan melanjutkan tempoh VOP itu memandangkan harga bahan binaan semakin meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini