GOPENG: Seorang renjer di Gua Tempurung di sini mendakwa ramai yang tersalah sangka apabila mendakwa lokasi kehilangan peserta larian Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan atau dikenali sebagai Acap pada Mac 2019 berlaku di Gua Tempurung.
Anggota renjer, Nazri Mat Isa, 47, berkata, ramai yang menyangka Acap hilang di dalam Gua Tempurung sehingga menyebabkan ada pengunjung yangtakut untuk berkunjung ke kawasan itu.
Menurutnya, sedangkan Acap bukannya hilang di dalam Gua Tempurung malah tidak pernah masuk ke dalam Gua Tempurung semasa menyertai acara lasak larian lebih dua tahun lalu.
“Apabila disebut kehilangan Acap, ramai yang menyangka dia hilang di dalam Gua Tempurung, menyebabkan selepas kehilangannya, pengunjung rasa takut-takut untuk datang atau masuk ke kawasan rekreasi di Gua Tempurung.
“Semasa menyertai larian, dia bersama peserta lain memulakan larian di sebuah dewan berdekatan Gua Tempurung dan kehilangannya disedari di Bukit Batu Putih, dia tidak menjejakkan kakinya ke Gua Tempurung.
“Andaian Acap hilang dalam Gua Tempurung mungkin kerana acara larian bermula di kawasan rekreasi Gua Tempurung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Acap seorang Juruteknologi Makmal Klinik Kesihatan Muar menyertai larian tersebut pada 23 Mac 2019, namun disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat dan sehingga kini Acap belum ditemukan.
Seorang peniaga makanan di Gua Tempurung, Intan Abdul Gani, 50, berkata, perniagaannya merosot dalam tempoh tiga bulan pertama selepas kehilangan Acap kerana pengunjung rasa takut untuk datang.
Katanya, malah pengunjung yang datang bertanyakan adakah kehilangan Acap di dalam Gua Tempurung.
“Kami terpaksa memberi penjelasan Acap bukannya hilang dalam Gua Tempurung. Selepas itu perniagaan kami kembali pulih.
“Namun kembali terjejas disebabkan Covid-19. Sekarang setelah rentas daerah dan negeri dibenarkan, pelancong mula kembali ke sini,” katanya.
Sementara itu, pengunjung ke Gua Tempurung mengakui masih mengingati kes kehilangan Acap dan menyifatkan ia sebagai kejadian menyedihkan terutama buat ahli keluarga Acap.
Pengunjung, Muhammad Syafiq Abdullah, 20, dari Seri Iskandar dekat Parit berkata, dia dan rakan-rakan memilih mengadakan aktiviti riadah di kawasan Gua Tempurung kerana keindahan semula jadi kawasan itu.
“Kehilangan Acap tetap dalam ingatkan kami dan kami sentiasa mendoakan yang terbaik kepada ahli keluarga Acap.
“Kami anggap sebagai sesuatu yang menyedihkan apatah lagi dia belum ditemukan sehingga sekarang. Apa yang berlaku tidak menghalang untuk kami melakukan aktiviti rekreasi dan riadah di kawasan ini,” katanya.- UTUSAN










