KUALA LUMPUR: Biarpun negara sudah 64 tahun merdeka, penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek di Mukim Ulu Yam, Hulu Selangor masih belum menikmati kemudahan asas seperti elektrik, air dan jalan raya hampir 30 tahun lamanya.
Walaupun kedudukannya berhampiran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), seramai 300 penduduknya masih melalui kehidupan menggunakan generator, bateri kereta dan panel solar untuk bekalan elektrik sementara menadah air hujan untuk kegunaan harian.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pemilik lot kebanyakannya adalah bekas kakitangan kerajaan seperti anggota polis, tentera, pesara, dan pegawai kerajaan.
Walaupun bersempadan dengan kawasan pembangunan di Bukit Beruntung, Bestari Jaya dan Bukit Tagar, serta berhampiran Sungai Selangor, namun disebabkan ketiadaan kemudahan asas, ramai penduduk meninggalkan kawasan berkenaan.
Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Kampung Melayu Bukit Tarek, Shamsiah Mohamad berkata, pihaknya telah membuat permohonan untuk kemudahan asas termasuk kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Namun, setelah TNB membuat sesi lawatan ke tapak berkenaan sebanyak dua kali pada tahun ini, usaha pemasangan elektrik tergantung dengan alasan ia menelan peruntukan yang agak besar sehingga RM1.5 juta untuk kawasan berkenaan.
“Menurut TNB, setelah kajian secara fizikal dibuat, perkara ini memerlukan perbincangan dengan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah kerana melibatkan peruntukan yang besar dan memerlukan kelulusan bajet dari pihak kementerian,” katanya.
Shamsiah mendakwa, ketika beliau ingin meminta kedudukan tanah daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) pada 2017, tiada rekod yang disimpan oleh pihak berkenaan tentang kawasan tersebut.
“Sedangkan kami ada geran sejak 2006, tetapi tiada dalam rekod JUPEM, bagaimana perkara ini boleh berlaku? Dan kami tidak mendapat hak seperti orang lain yang duduk selesa ada kemudahan asas.
“Malah, di pesisir Sungai Selangor yang mempunyai kolam ikan persendirian juga mempunyai elektrik. Kenapa tempat kami tiada elektrik dan air selama 30 tahun lamanya?
“Sebab itu kita amat mengharapkan pembinaan jalan yang berturap dapat diselesaikan supaya kenderaan yang lebih sesuai boleh masuk ke kampung ini dan kemudahan asas seperti elektrik dan air dapat dinikmati oleh warga penduduk di sini,” katanya.
Jelasnya, kemudahan perubatan, makanan dan perbankan, amat mudah untuk diperoleh kerana jarak kampung itu dengan Bukit Beruntung hanya 5 kilometer (km) dan kira-kira 58 km ke Kuala Lumpur.
Malah, kedudukan Kampung Melayu Bukit Tarek dengan Hospital Sungai Buloh hanya 35 km sementara Pusat Rawatan KPJ Rawang pula 14 km.
Seorang penduduk, Sharifah Fajariah Syed Aman Shah, 71, berkata, dia menetap di kampung tersebut 25 tahun lalu dan sangat berharap pihak terbabit dapat menyediakan kemudahan asas sewajarnya kepada penduduk.
“Rumah ini sudah dibina selama 25 tahun, dari dulu hingga kini, keadaan masih lagi begini, tiada elektrik, air, jalan pun tidak ada. Generator dah berapa kali orang curi. Saya memang nak menetap terus di sini, tetapi tiada kemudahan asas, macam mana nak terus tinggal di sini? Sebab itu rumah pun banyak yang tidak diuruskan dengan baik.
“Kita bukan minta hak orang, ini kawasan kita sendiri. Kita ada geran tanah. Jadi saya buat semampu saya sahaja. Balik tiap minggu, tengok kawasan rumah dengan anak atau cucu, selepas itu saya balik,” katanya.
Berkeluasan 850 ekar, ia meliputi 253 kawasan lot dengan purata keluasan tanah lebih kurang tiga ekar untuk setiap lot.
Bagi generasi kedua, Anuar Zaman Mohd. Noor, 40, hasrat untuk menetap terus di Kampung Melayu Bukit Tarek terpaksa ditangguhkan apabila memikirkan tiada kemudahan asas di kawasan berkenaan.
“Semua benda tidak ada, macam mana nak duduk di sini? Niat saya memang begitu, nak tinggal di sini dengan isteri dan tiga orang anak. Tapi keadaan tidak mengizinkan. Ini bukan kawasan hulu nak hidup macam zaman dulu tiada elektrik dan air, ini Selangor. Lagipun berhampiran Lebuhraya Utara Selatan.
“Takkan tidak mampu bantu kita untuk sediakan kemudahan asas?” soalnya.
Rungutan sama turut diluahkan seorang penduduk, Baharom Shafie, 72, yang mahu membangunkan lotnya sebagai kawasan pertanian, namun berskala kecil.
Katanya, jalan masuk ke kawasan lot itu amat sukar untuk dilalui kerana laluannya masih tanah merah dan banyak jalan berlopak dan berlubang menyebabkan kenderaan seperti kereta biasa tidak boleh masuk ke kawasan itu.
“Setakat ini, saya usahakan sendiri dengan menanam pokok-pokok buah di kawasan lot dengan dibantu anak-anak sebab akhirnya tanah ini pun saya serahkan kepada mereka. Ia agak sukar untuk saya nak buat beberapa perkara lain kerana bila tiada kemudahan asas ini, semuanya terencat.
“Dekat sini, banyak kebun yang keluarkan hasil tanaman, tetapi tidak dapat dipasarkan kerana keadaan laluan yang amat teruk untuk keluarkan hasil tanaman dari kawasan itu, akhirnya kita menanggung kerugian kerana tidak mempunyai pulangan hasil yang setimpal,” jelasnya.
Laluan masuk dari rumah ke rumah Kampung Melayu Bukit Tarek ini memerlukan kenderaan pacuan empat roda berikutan laluan tersebut masih tanah merah, dan ada kawasan yang mempunyai jalan-jalan pasir yang dibuat pemilik lot itu sendiri sebagai kemudahan mereka.
Terdapat juga palang besi yang dibina pemilik lot supaya tidak dicerobohi pihak luar.
Ini kerana sepanjang pemerhatian Utusan Malaysia, terdapat pihak luar diprcayai membeli tanah daripada pemilik lot dan mengusahakan tanaman durian musang king. – UTUSAN










