KOTA BHARU: Lega, terharu dan hampir mahu menangis. Demikian antara luahan spontan orang ramai yang menerima Bantuan Khas Covid-19 (BKC) disalurkan kerajaan secara berperingkat mulai semalam.
Nelayan, Rosdi Hassan, 38, berkata, bantuan itu tiba selepas dia kehilangan pendapatan kerana tidak dapat turun ke laut kerana menjalani kuarantin akibat menjadi kontak rapat kepada ahli keluarga yang positif Covid-19.
“Kami sekeluarga ikat perut dan berjimat menggunakan wang simpanan yang tak seberapa,” kata bapa kepada empat anak berusia empat hingga 12 tahun di luar sebuah bank di sini.
Pesakit buah pinggang kronik, Siti Nurshawani Mohd Azman, 21, berkata, sejak pandemik, dia yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak terpaksa menganggur.
“Keluarga kami amat terkesan selepas saya tidak bekerja. Suami yang bekerja sebagai tukang rumah turut terjejas teruk kerana tidak lagi diupah membaiki rumah penduduk kampung,” katanya.
Pekerja kedai makan, Hafizan Halim, 34, pula berkata, bantuan disalurkan benar-benar datang ketika dia buntu memikirkan di mana mahu mendapatkan wang bagi membiayai kos perubatan selepas disahkan menghidap penyakit tibi.
“Rasa nak menangis pun ada apabila mendapati ada duit masuk dalam akaun hari ini (semalam). Saya memerlukan wang ini sebab nak pinjam daripada saudara-mara, saya malu,” katanya.
Di Bera, Pahang, N. P. Jayendi, 54, dari Kampung Baru di sini berkata, wang BKC dapat digunakannya untuk membeli barang dapur dan pakaian keluarga.
“Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak mengabaikan kebajikan rakyat,” katanya.
Bagi R. Dewi, 39, dari Pekan Triang pula mengakui bantuan BKC memberi peluang untuk keluarganya membeli makanan yang lebih berzat.
“Pandemik memberi kesan mendalam terhadap ekonomi keluarga malah pada satu ketika hampir kehabisan beras,” katanya ketika ditemui pada program penyampaian BKC dan sesi libat urus virtual oleh Ismail Sabri dan Menteri Kewangan, Tengku
Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi google meet di Bank Simpanan Nasional (BSN) Triang di sini.
Hadir sama pada program itu, Timbalan Menteri Kewangan, Mohd. Shahar Abdullah dan Pengarah BSN Pahang, Shahrul Anuar Hamid. – UTUSAN











