PENAMPANG: Penduduk yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Madsiang, di sini bersyukur selepas kediaman mereka yang musnah dijanjikan rumah baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melawat mereka semalam.
Seorang mangsa, Jamina Kigut, 58, berkata, beliau tidak menyangka ketika berdepan musibah, dia berpeluang bertemu empat mata dengan Perdana Menteri.
“Perdana Menteri beritahu saya supaya tidak perlu lagi membaik pulih rumah itu sebaliknya, beliau berjanji membina semula rumah yang baharu.
“Saya bersyukur Perdana Menteri berjanji bina semula rumah kami. Saya berharap segalanya dipermudahkan kerana saya bingung kerana tidak tahu lagi hendak pindah ke mana kerana anak dan cucu masih bersekolah,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Doraly John, 36, berkata, beliau bersyukur apabila Perdana Menteri membawa khabar gembira kepada mereka.
Katanya, dalam kejadian itu rumah mereka musnah hingga menyebabkan anak-anaknya tertimbus dalam runtuhan.
Semasa kejadian, beliau yang baru pulang dari Pekan Donggonggon hendak memindahkan kereta ke kawasan yang lebih selamat, namun tiba-tiba sahaja tanah runtuh dan rumah mereka ranap.
“Pada masa itu, enam orang yang berada dalam rumah termasuk isteri, anak-anak dan anak saudara saya sudah terperangkap dalam runtuhan. Nasib baik mereka berada di bucu bilik dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – UTUSAN










