PETALING JAYA: Sekatan jalan raya di Lebuh Raya Persekutuan dan Taman Kanagapuram di sini ditutup mulai tengah malam tadi.
Ini susulan peralihan kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Lembah Klang yang diumumkan kerajaan, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bagaimanapun empat lagi sekatan jalan raya di Petaling Jaya dikekalkan.
“Lokasi tersebut membabitkan sekatan jalan raya yang dikekalkan adalah di Plaza Tol Sungai Buloh, Plaza Tol Kota Damansara, Plaza Tol Damansara dan Plaza Tol Subang.
“Orang ramai dinasihatkan supaya terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) di sepanjang tempoh pelaksanaan Fasa 2 PPN di daerah Petaling Jaya khususnya,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, orang ramai diingatkan tidak leka dengan kelonggaran diberi sehingga mengabaikan SOP dalam mengawal dan mencegah pandemik COVID-19.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan aktiviti rentas negeri dan daerah di sekitar Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya dibenarkan susulan peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).- UTUSAN ONLINE