KAJANG: Serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap premis memproses dadah didalangi sindiket antarabangsa menerusi Op Gaharu 2.0 berjaya membongkar pusat panggilan penipuan dalam talian yang dilakukan pihak sama.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pembongkaran itu telah membawa penahanan seramai 14 individu dipercayai terlibat dengan kegiatan terbabit.
Katanya, semua suspek yang ditahan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk siasatan lanjut.
“Polis percaya sindiket didalangi warga Asia Timur tersebut turut menjalankan kegiatan penipuan dalam talian di negara ini.
“Kita tidak menjangkakan dapat membongkar kegiatan penipuan dalam serbuan ini. Namun sindiket dadah ini jelas mengambil kesempatan dengan turut menjalankan kegiatan penipuan,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini semalam.
Terdahulu, PDRM melumpuhkan sindiket dadah antarabangsa yang didalangi warga Asia Timur dengan merampas dadah seberat 6.2 tan bernilai RM1.04 bilion menerusi serbuan Op Gaharu 2.0 di sekitar Selangor pada 21 Disember lalu.
Hussein berkata, serbuan tersebut dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman ekoran penahanan enam suspek termasuk tiga wanita menerusi Op Gaharu 1.0 pada 16 Disember lalu.
Katanya, serbuan pertama dijalankan sekitar Taman Industri Selesa Jaya, Seri Kembangan dengan merampas cecair disyaki dadah Methylenedioxy Methamphetamine (MDMA) seberat 5,983.36 kilogram (kg) dan serbuk putih disyaki dadah jenis MDMA seberat 207.74 kg.
Beliau berkata, ia membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong dan merampas serbuk disyaki dadah kokain seberat 20.273 kg dan sebuk putih disyaki dadah ketamin iaitu 1.252 kg.
“Rampasan keseluruhan dianggarkan seberat 6,212 kg bernilai RM1.04 bilion dan jumlah dadah dirampas mampu merosakkan seramai 20.7 juta pengguna,” katanya.
Hussein berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan membawa masuk ahli kimia dan bahan dari luar negara serta menggunakan warga tempatan bagi memproses dadah.-UTUSAN










