Sindiket penipuan tukar alat ganti kenderaan tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket penipuan tukar alat ganti kenderaan tumpas

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan lima lelaki yang terlibat dalam sindiket pembelian alat tukar ganti terbongkar selepas ditahan polis dalam serbuan di Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu. 

 

Tangkapan itu dijalankan susulan laporan polis diterima polis daripada seorang lelaki memaklumkan ditipu dalam urusan pembelian barangan alat ganti kenderaan.

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md. Din berkata, sindiket tersebut didapati menghantar slip pembayaran perbankan berjadual atau ‘Inter Bank Giro’ (IBG) bagi menipu pembekal dan peniaga barangan alat ganti kenderaan.

 

Katanya, susulan laporan itu, pihak polis menahan lima lelaki berusia antara 23 hingga 60 tahun kira-kira pukul 10.15 malam.

 

“Hasil soal siasat dilakukan, kami menemui beberapa rumah yang dijadikan stor simpanan alat tukar ganti kenderaan di sekitar Pahang dan merampas pelbagai alat tukar ganti kenderaan dianggarkan bernilai RM936,783,” katanya pada sidang media di Balai Polis Jinjang, di sini hari ini. 

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo; Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Willie Richard serta Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

 

Mohd Kamarudin berkata, siasatan dilakukan mendapati sindiket berkenaan sudah beroperasi sejak Mac lalu di sekitar Lembah Klang dam Johor.

 

Ujar beliau, sindiket ini menyasarkan pembekal serta peniaga barangan alat ganti kenderaan dengan menggunakan modus operandi menyerahkan slip pembayaran perbankan berjadual kepada mangsa bagi menipu kononnya bayaran sudah dilakukan.

 

“Ada antara mereka berperanan sebagai ejen pembeli barang alat ganti kenderaan, pemilik syarikat alat tukar ganti kenderaan serta pemandu.

 

“Sindiket ini menggunakan nama syarikat tertentu untuk mengaburi mangsa yang diperdaya dengan slip jadual pembayaran (IBG) palsu bagi meyakinkan mereka sebelum penghantaran dilakukan ke alamat diberikan sindiket,” katanya.

 

Bagaimanapun Mohd. Kamaruddin berkata, sindiket didakwa ‘cabut lari’ dan meninggalkan premis dalam keadaan kosong sebalik mangsa menyedari ditipu.

 

Ujarnya lagi, pihak polis yakin menyelesaikan lapan kes di Johor dan satu kes di Sentul yang dipercayai didalangi kumpulan itu.

 

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihaknya menerima 23 kes dengan kerugian berjumlah RM566,397 membabitkan modus operandi penipuan menggunakan slip pembayaran perbankan berjadual atau dikenali sebagai ‘Fly by Night’ pada tahun lalu.

 

“Bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam, kami menerima 43 kes membabitkan ‘Fly by Night’ dengan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM3.25 juta,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN