SHAH ALAM: Kerajaan Selangor diingatkan tidak mengulangi kesilapan apabila didakwa meluluskan senyap-senyap penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) sehingga menimbulkan pertikaian beberapa pihak.
Malah, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diberi amaran supaya tidak membelakangkan kepentingan awam dan suara rakyat berhubung isu terbabit.
Muafakat Nasional (MN) Selangor menerusi kenyataan bersama Pengerusi Perhubungan UMNO, Tan Sri Noh Omar serta Pesuruhjaya Pas, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi mendakwa isu berkaitan HSKLU yang berbangkit mencerminkan kelompongan dalam integriti kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH).
“Tindakan terbaru tersebut terbukti integriti kerajaan PH Selangor dipertikaikan kerana Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) 17/2021 bertarikh 5 Mei 2021 sebelumnya telah meluluskan nyahwarta ini dalam mesyuarat mereka.
“Pihak yang menyokong pelan pembangunan di kawasan HSKLU ini sehingga meyakinkan Menteri Besar dan kerajaan negeri meluluskannya walau dibantah rakyat perlu memikul tanggungjawab dan disiasat,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Ogos lalu memaklumkan mesyuarat exco pada 5 Mei meluluskan penyahwartaan HSKLU.
Bagaimanapun, makluman itu menimbulkan kontroversi apabila pelbagai pihak termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk Orang Asli berhampiran hutan simpan paya gambut itu berkali-kali membantah.
Susulan itu, kelmarin Amirudin membatalkan penyahwartaan tersebut selepas membawanya ke dalam Mesyuarat MMKN pada hari sama.
Dalam pada itu, MN Selangor mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri membatalkan penyahwartaan HSKLU dan menyifatkan keputusan yang diambil sebelum ini tergesa-gesa dan meminggirkan kepentingan rakyat.
“MN Negeri Selangor mengalu-alukan langkah kerajaan PH Negeri Selangor yang akhirnya bersetuju mewartakan semula HSKLU.
“Warisan Hutan Paya Gambut negeri ini sangat bermakna dan berharga buat semua lebih-lebih lagi generasi kita yang akan datang, menyentuh apalagi membangunkan kawasan seumpama ini sesungguhnya mengkhianati warisan dan khazanah negeri,” ujarnya.- UTUSAN