KANGAR: Hanya dalam tempoh satu jam setengah, sebanyak 1.2 tan metrik atau 1,200 kilogram sampah dikutip di pesisir pantai Padang Keria, Kuala Sanglang di sini.
Jumlah kutipan tersebut hanya melibatkan jarak 500 meter, sekali gus menunjukkan banyak sampah di pesisir pantai Kuala Perlis sehingga Kuala Sanglang sepanjang 13 kilometer itu.
Ketua Pahlawan Sampah Perlis, Rosnani Nazri memberitahu, sebanyak 60 sukarelawan terlibat dalam kerja-kerja mengutip sampah di kawasan berkenaan.
Katanya, masih banyak sampah yang tidak dapat dikutip oleh sukarelawan tersebut kerana sudah melebihi tong sampah yang disediakan.
Ujarnya, situasi tersebut menunjukkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk tidak membuang sampah di kawasan sepatutnya masih rendah sehingga pesisir pantai dipenuhi botol-botol kosong.
“Pengurusan sampah perlulah dibuat daripada rumah lagi. Sampah yang boleh dikitar semula, kita kitar semula manakala yang tidak boleh kita buang di dalam tong sampah.
“Jika pergi ke mana-mana kawasan yang tidak mempunyai tong sampah, kita amalkan untuk membawa balik sampah tersebut dan bukan membuangnya di merata-rata tempat,” katanya ketika ditemui pada program Pembersihan dan Penanaman Pokok Bakau Sanglang di pesisir pantai Padang Keria, Kuala Sanglang, di sini semalam.
Program tersebut yang turut disertai sukarelawan daripada Universiti Malaysia Perlis (Unimap); Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau menanam 50 pokok bakau jenis Kurap di pesisir pantai berkenaan.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 13,000 kilogram sampah dikutip di sepanjang pesisir pantai Kuala Perlis sehingga Kuala Sanglang sejauh 13 kilometer setiap minggu dengan 80 peratus sampah terbabit melibatkan plastik seperti botol.
Rosnani berkata, penanaman bakau adalah sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok bermula daripada tahun ini hingga 2025.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) akan mengambil langkah segera untuk membersihkan sampah-sarap yang didapati terapung di perairan Langkawi, Kedah, berhampiran Bukit Malut dan dua buah hotel ternama di pulau berkenaan.
Yang Dipertua MPLBP, Radzuan Osman berkata, fenomena sampah yang terapung di perairan ini biasanya berlaku ketika musim tengkujuh dan air pasang besar.
“Sampah sarap dari penempatan di Bukit Malut akan terapung dan hanyut di laut apabila air pasang besar. Apabila air pasang besar sehingga ke bawah rumah di penempatan itu, sampah yang dibuang itu akan dihanyutkan ke tengah laut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gambar rakaman video yang tular selepas seorang pengguna media sosial memuat naik rakaman video pencemaran yang didakwa berlaku di perairan Pulau Langkawi.
Radzuan berkata, fenomena tersebut boleh mencacatkan pemandangan dan menjejaskan imej pulau peranginan itu yang kini telah dibuka semula kepada pelancong domestik.
Tambahnya, selain daripada sampah yang dihanyutkan dari Bukit Malut, ada juga sebahagian sampah yang mungkin dihanyutkan dari negara jiran berdasarkan tulisan yang dapat dilihat pada sampah itu. – UTUSAN ONLINE











