‘Rumah baharu ini tinggi nilainya’ - Utusan Malaysia

‘Rumah baharu ini tinggi nilainya’

MOHD. YUSRI Hassan Basri (kiri) bertanyakan sesuatu kepada Kamarudin Li ketika melawat rumah baharunya  di Kampung Seberang, Tanjung Buloh, Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kesusahan hidup seorang bekas anggota Pasukan Kawalan Tempatan atau Home Guard, Kamarudin Li, 85, yang tinggal di rumah usang dan uzur mendapat pembelaan apabila menerima bantuan rumah baharu daripada Polis Pahang di Kampung Seberang, Tanjung Buluh dekat sini, baru-baru ini.

Lebih signifikan dalam sejarah kehidupan warga emas itu, keluarganya disantuni Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor yang melihat rumah baharu dibina bernilai hampir RM70,000 itu serta beramah mesra dengan keluarga berkenaan.

Semasa kunjungan itu, Mohd. Yusri menyampaikan sumbangan wang tunai, barang makanan daripada Amanita Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis dan surat penghargaan Ketua Polis Pahang kepada Kamarudin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kamarudin yang bertugas sebagai anggota Pasukan Kawalan Tempatan kawasan Lipis antara 1950 hingga 1959 berkata, selepas berhenti daripada pasukan itu, dia bekerja sebagai pemandu bot penambang dan membuat kerja kampung untuk menyara lima anak.

“Mana mampu saya membeli bahan binaan tanpa pendapatan  tetap dan semakin bimbang apabila melihat rumah lama yang uzur dan kerap dinaiki air Sungai Jelai setiap kali musim banjir,” katanya.

Menurut Kamarudin, dia bersyukur kesusahan hidupnya ‘dihidu’ Ketua Polis Lipis dan anggota IPD tersebut menerusi bantuan laporan Jawatankuasa Keselamatan Kemakmuran Kampung (JKKK) sehingga membolehkan dia dan keluarganya menduduki rumah baharu.

“Pengorbanan semasa bertugas sebagai Home Guard tidaklah sebesar mana. Cuma sebahagian sahaja berjuang bersama pasukan ini untuk mempertahan negara dan kampung daripada ancaman Komunis berbanding dengan penghargaan yang diterima seperti bantuan rumah baharu daripada PDRM yang tinggi nilainya,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Yusri berkata, program ziarah itu untuk mengesan saki baki bekas anggota pasukan itu yang masih hidup bagi tujuan mengenal pasti masalah kebajikan mereka.

“Kita menyanjung tinggi dan menghargai pengorbanan bekas anggota Home Guard dan Special Constable serta anggota lain yang berjuang pada era Darurat 1948 sehingga negara mencapai kemerdekaan dan pasca berikutnya untuk menghapuskan saki baki Komunis,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana memberikan sumbangan RM30,000 dan selebihnya daripada pemimpin setempat, anggota polis IPD Lipis serta dermawan bagi membina rumah baharu Kamarudin. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN