Rayuan Anwar diputuskan serentak dengan dua rayuan lain - Utusan Malaysia

Rayuan Anwar diputuskan serentak dengan dua rayuan lain

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan kebenaran mencabar tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat, akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada satu tarikh lain.

Ketetapan itu diumumkan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Has Zanah Mehat yang bersidang bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Mohd. Zaidi Ibrahim selepas mendengar penghujahan peguam-peguam perayu dan responden.

Hakim Has Zanah menangguhkan keputusan hingga November ini bagi membolehkan panel itu memutuskan secara serentak dua lagi rayuan kerana penghujahan yang dikemukakan sebelum ini melibatkan isu yang sama.

Satu rayuan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Renggam, Datuk Seri Salahuddin Ayub; ADUN Gurun, Datuk Johari Abdul dan ADUN Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari manakala satu lagi rayuan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Keputusan kedua-dua rayuan itu sepatutnya disampaikan Khamis ini.

Sehubungan itu, Hakim Has Zanah menetapkan esok untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh yang sesuai bagi mengumumkan ketiga-tiga keputusan rayuan.

Sebelum itu, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Anwar berhujah, Mahkamah Tinggi sepatutnya membenarkan anak guamnya memulakan semakan kehakiman untuk mencabar nasihat yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri yang dihujahkan berniat jahat dan tidak munasabah.

Hujah beliau, tindakan Muhyiddin dan Jemaah Menteri seharusnya diteliti kerana tiada keperluan ketika itu untuk menggantung persidangan Parlimen bagi mengawal pandemik Covid-19.

Menurutnya, tindakan itu memadai dengan bersandarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sehubungan itu, Ramkarpal memohon panel itu menilai tindakan bekas Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memasyhurkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen.

Mahkamah Tinggi pada 22 April lalu menolak permohonan kebenaran semakan kehakimannya atas alasan mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu berdasarkan Perkara 150(6) dan 150(8) Perlembagaan persekutuan.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) berpendapat, nasihat bekas Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong bukan merupakan keputusan Eksekutif, jadi ia tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut lalu mengemukakan rayuan agar merit semakan kehakimannya didengar dan diputuskan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy berhujah, panel itu tiada asas untuk campur tangan atau mengubah keputusan Mahkamah Tinggi kerana Perkara 150(6) dan 150(8) jelas membawa maksud proses yang berkaitan Ordinan Darurat dan proklamasi tidak boleh dicabar di mahkamah.

Anwar memohon deklarasi bahawa keputusan Jemaah Menteri diketuai Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengakibatkan penggantungan Parlimen, adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kesan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN