GEORGETOWN: Kerajaan Pusat digesa menubuhkan Majlis Kerukunan Politik Negara (MKPN) bagi merangka rukun-rukun untuk rakyat supaya tidak menyentuh isu sensitif semata-mata untuk meraih populariti politik.
Veteran politik UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, majlis itu boleh dipengerusikan seorang negarawan yang dihormati semua pihak manakala anggotanya terdiri daripada wakil-wakil badan politik serta ahli-ahli akademik yang berwibawa serta dihormati.
Beliau yang juga Tokoh Kemerdekaan Malaysia 2011 menambah, rukun-rukun politik itu kelak dapat dijadikan tiang negara dan panduan kepada semua ahli dan pertubuhan politik mengenai apa yang boleh dan tidak boleh diamalkan dalam berpolitik (politicking).
Ujar beliau, rukun politik itu perlulah pula mendukung cita-cita negara dan bertujuan menjaga keharmonian hidup rakyat yang berbilang kaum berteraskan Perlembagaan, Rukun Negara dan kontrak sosial.
“Contohnya rukun politik ini perlu dijadikan syarat dan peraturan bagi semua ahli politik dan pertubuhan politik untuk tidak menyentuh isu-isu sensitif.
“Antaranya dengan tidak sama sekali mempertikai Perlembagaan Negara, institusi raja berperlembagaan seterusnya menghormati Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan serta beberapa perkara lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, Majlis Kerukunan Politik Negara itu boleh diurus selia oleh Kementerian Perpaduan dengan melantik tokoh-tokoh politik, negarawan dan ahli-ahli akademik untuk merangka Rukun Politik Negara.
Beliau yakin jika rukun politik itu dapat diwujudkan, semua ahli politik dan pertubuhan politik terutama golongan muda mempunyai satu garis panduan dan mengetahui parameter untuk berpolitik dengan sihat.
Malah tambah beliau, rukun politik itu juga boleh meningkatkan integriti ahli-ahli politik supaya menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan sedar tahap kebebasan yang perlu dihadkan di negara ini atas faktor keharmonian kaum.
“Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara ini, kita mempunyai kewajipan dan tanggungjawab untuk sentiasa celik Pelembagaan, celik Rukun Negara dan celik kontrak sosial.
“Ini supaya menerusi pegangan itu, negara kita akan sentiasa berada dalam keadaan aman, damai dan rakyatnya hidup sejahtera serta harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE