Perlis beri imbuhan RM150,000 pada Latif - Utusan Malaysia

Perlis beri imbuhan RM150,000 pada Latif

AZLAN MAN (dua dari kiri) menyampaikan imbuhan sebanyak RM150,000 kepada Abdul Latif Romly di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Kerajaan negeri memberi imbuhan sebanyak RM150,000 kepada jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif Romly yang memenangi pingat emas Sukan Paralimpik 2020 Tokyo, 4 September lalu.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, imbuhan tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada Abdul Latif yang menghadiahkan pingat emas kepada negara sekali gus turut menjadi kebanggaan negeri ini sebagai anak jati Perlis.

 

“Semoga ini akan menjadi pengalak dan inspirasi kepadanya untuk memperoleh kejayaan lain pada masa akan datang. Difahamkan pada 2022, Abdul Latif akan mengambil bahagian dalam beberapa lagi pertandingan di peringkat  antarabangsa.

 

“Kami juga ingin ucapkan tahniah kepada ibu bapanya yang sentiasa memberi semangat dan mendoakan kejayaan Abdul Latif,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan imbuhan tersebut di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.

 

Sementara itu, Azlan berkata, kerajaan negeri merancang mewujudkan anugerah olahragawan dan olahragawati yang dijangka diadakan tahun depan.

 

Menurutnya, calon untuk anugerah tersebut belum lagi dipilih, namun tujuan pelaksanaannya adalah bagi menghargai sumbangan atlet dari negeri ini yang menyumbangkan kejayaan kepada negeri dan negara.

 

Dalam pada itu, Abdul Latif bersyukur dan terharu dengan imbuhan yang diberikan dan beliau akan kembali semula ke Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada November ini untuk mempersiapkan diri bagi tiga kejohanan antarabangsa, tahun depan.

 

“Tahun depan ada Sukan Para ASEAN di Hanoi, Vietnam; Sukan Para Asia di Hangzhou, China dan Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun.

 

“Alhamdulillah, kecederaan sebelum ini sudah semakin pulih. Saya masih buat fisioterapi dan ketika ini ada juga buat latihan tetapi yang tidak terlalu berat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya