PETALING JAYA: Senarai akhir barisan pemain yang akan mewakili negara ke Piala Raja Thai 2025 tidak menjanjikan tempat untuk pemain senior, sebaliknya hanya akan dimuktamadkan selepas berakhir Grand Prix Liga Sepak Takraw (STL) di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
Ketua jurulatih kebangsaan, Ahmad Jais Baharun berkata, pihaknya dalam fasa akhir menilai prestasi pemain dan kedua-dua GP itu akan menjadi penentu senarai akhir pemain ke Bangkok.
Katanya, walaupun senarai awal pemain telah dihantar kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), namun ia bukan keputusan muktamad kerana pemilihan akhir boleh berubah.
“Kami lihat ini sebagai peluang terbaik untuk menilai tahap kecergasan, konsistensi serta keserasian antara pemain, khususnya mereka yang berada dalam radar pemilihan ke Piala Raja Thai.
“Saingan kompetitif di pentas tempatan seperti ini amat penting kerana ia memberi gambaran sebenar prestasi semasa pemain sebelum kita buat keputusan akhir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Skuad kebangsaan dijadualkan berlepas ke Thailand bagi menyertai kejohanan berprestij itu yang akan berlangsung dari 20 hingga 27 Julai ini di Bangkok.
Ahmad Jais turut mengakui tempoh persiapan agak singkat, namun beliau yakin pasukan negara tetap mampu memberikan saingan terbaik di pentas antarabangsa.
“Kita akan manfaatkan baki masa yang ada sebaik mungkin untuk memantapkan gandingan serta persefahaman dalam kalangan pemain utama. Fokus kami jelas, bawa cabaran terbaik negara ke Piala Raja Thai,” tegasnya.
Untuk rekod, skuad negara menampilkan aksi terbaik mereka sewaktu Piala Asia di Stadium Titiwangsa, Mei lalu apabila berjaya menjuarai acara kuadran dan acara regu selain naib juara dalam acara beregu dan regu berpasukan.
Sebelum ini, Jais bakal membuat perubahan apabila mengumumkan bakal membuat rombakan pemain besar-besaran menjelang kejohanan Piala Raja Thai. – UTUSAN










