PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam bantahan awalnya terhadap rayuan Peguam Negara berhubung keputusan mahkamah terdahulu membenarkan bekas Perdana Menteri itu memulakan semakan kehakiman dan mengemukakan bukti baharu berhubung Titah Adendum.
Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak bantahan itu selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat, semalam.
Hari ini, panel sama akan mendengar rayuan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar.
Pada 28 April lalu, Mohd. Dusuki berjaya mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merujuk beberapa persoalan antaranya sama ada wujud sebarang kewajipan di bawah undang-undang untuk memaksa mana-mana pihak berkuasa mengesahkan kewujudan dan memberikan salinan dokumen kepada pihak pemohon, terutamanya ke atas Peguam Negara yang hanya bertindak atas kapasitinya.
Selain itu, Peguam Negara memohon Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan sama ada pihaknya boleh mengemukakan keterangan baharu yang akan memberikan kesan undang-undang terhadap keputusan Lembaga Pengampunan yang boleh dicabar secara langsung atau tidak langsung.
Pada Februari lalu, Mohd. Dusuki melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis usul untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman dan memasukkan bukti baharu.
Pada 6 Januari 2025, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati tiada mana-mana responden yang dinamakan dalam permohonan memfailkan sebarang afidavit menafikan kewujudan perintah tambahan berkenaan.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden. – UTUSAN










