fbpx

24 Oktober 2021, 4:21 pm

  TERKINI

Pengawal maut dibelasah, Perkeso bayar faedah buat balu

M. SARAVANAN (kiri) menyerahkan faedah caruman Perkeso kepada E. Philomena di Taman Buntong Ria, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Beban balu kepada pengawal keselamatan yang meninggal dunia selepas lapan bulan terlantar akibat cedera diserang lelaki dalam kejadian di sebuah kondominium di sini Disember lalu, diringankan menerusi bayaran faedah oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pembayaran itu berikutan mendiang S. Thava Sagayam, 64, adalah  Orang Berinsurans (OB) dengan Perkeso dan mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Penyerahan faedah caruman  diterima balu mendiang, E. Philomena, 59, itu melibatkan Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Faedah Orang Tanggungan (FOT).

Philomena menerima cek pembayaran faedah berkenaan yang disampaikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan di rumahnya di Taman Buntong Ria di sini hari ini. 

Turut hadir, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed; Ketua Pegawai Komunikasi, Izad Raya dan Pengarah Perkeso Perak, Anthony Arul Dass.

Sementara itu,  Saravanan berkata, faedah  diterima Philomena adalah hasil caruman mendiang suaminya dengan Perkeso sepanjang enam tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan.

Katanya, berdasarkan caruman tersebut, wanita itu layak menerima bayaran FHUS berjumlah RM12,737.32 yang dibayar sepanjang tempoh dari tarikh mula kemalangan hingga tarikh kematian Thava Sagayam.

“Balu mendiang juga layak menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM1,143.90 yang akan dibayar secara bulanan untuk seumur hidup.

“Menerusi pembayaran faedah tersebut, kebajikan Philomena akan lebih terjaga tambahan lagi mendiang suaminya adalah penanggung tunggal keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Philomena berkata, dia terharu dan berterima kasih kepada Perkeso atas penyerahan faedah caruman yang ditinggalkan mendiang suaminya.

Katanya, faedah yang diterimanya itu sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung dan akan digunakan untuk belanja keperluan harian.

“Saya tidak sangka akan dapat bayaran ini, apa pun saya berterima kasih kepada Perkeso. Duit pencen ini akan saya gunakan untuk beli makanan, bayar bil dan belanja harian lain,” katanya

Dalam kejadian 29 Disember lalu, Thava Sagayam, 64, yang  bertugas di kolam renang kondomonium  cedera di bahagian belakang kepala setelah diserang seorang lelaki.

Kejadian itu berpunca daripada tindakan lelaki yang tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana cuba menghalang anak kepada penyerang itu daripada menggunakan kolam renang yang ketika itu tidak dibuka kepada orang ramai.

Bagaimanapun, selepas lapan bulan menderita dan menjalani lapan pembedahan di kepala, Thava Sagayam menghembuskan nafas terakhir di rumahnya pada 27 Ogos lalu. – UTUSAN 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI