PASIR GUDANG: Seorang pemuda ditemukan lemas dipercayai terjatuh ketika mengunjungi Tasik Hijau di Bukit Lunchu di sini untuk beriadah.
Mayat Mohd. Faiz Daniel Maula Mohd. Nor berusia 26 tahun itu ditemukan pada pukul 2.25 petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II, Ibrahim Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 10.22 pagi.
Menurutnya, seramai 15 anggota bersama tiga jentera bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati mangsa merupakan seorang pemuda lelaki berusia 26 tahun yang mengunjungi kawasan berkenaan untuk menjalankan aktiviti riadah telah lemas.
“Operasi mencari dan menyelamat menemukan mangsa pada pukul 2.45 petang.
“Lokasi mayat mangsa ditemukan adalah pada kedalaman antara satu hingga dua meter pada jarak tujuh meter daripada tempat dia terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN









