Vape: MyWatch kesal KKM rayu keputusan Mahkamah Tinggi

Vape: MyWatch kesal KKM rayu keputusan Mahkamah Tinggi

ROSLIZAWATI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Tindakan Wanita Malaysia untuk Kawalan dan Kesihatan Tembakau (MyWatch) kesal dengan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pengecualian nikotin cecair dan gel daripada Akta Racun yang didakwa tidak sah.

Presiden MyWatch, Roslizawati Ali berkata, keputusan Mahkamah Tinggi tersebut sepatutnya menjadi peluang penting kepada kerajaan untuk mengakui kesilapan dasar, memulihkan keyakinan awam serta mengutamakan kesihatan rakyat.

“Tindakan KKM meneruskan rayuan menimbulkan persoalan mengenai keutamaan sebenar kementerian berkenaan. Siapa sebenarnya yang Kementerian Kesihatan lindungi?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tanggungjawab utama kementerian adalah melindungi kesihatan rakyat, mencegah penyakit dan memastikan kesejahteraan masyarakat, bukannya kepentingan industri atau hasil cukai produk ketagihan.

“Tindakan merayu keputusan tersebut boleh memberi persepsi bahawa kementerian lebih cenderung mempertahankan kepentingan industri vape berbanding kesihatan kanak-kanak dan remaja.

“Pengecualian nikotin cecair daripada Akta Racun pada 2023 telah membuka ruang kepada perkembangan pesat produk vape dan e-rokok di seluruh negara.

“Hal ini turut menyaksikan peningkatan kes ketagihan nikotin dalam kalangan pelajar sekolah serta kebimbangan terhadap pendedahan kepada bahan berbahaya. Ini bukan lagi sekadar isu kawal selia. Ia adalah kecemasan kesihatan awam,” katanya.

Selain itu, Roslizawati berkata peningkatan penggunaan vape dalam kalangan golongan muda berpunca daripada pemasaran agresif termasuk perisa menarik, pembungkusan berwarna-warni dan promosi gaya hidup melalui media sosial.

Katanya, oleh itu, MyWatch menggesa kerajaan mempertimbangkan larangan menyeluruh terhadap semua produk vape dan e-rokok untuk kegunaan rekreasi, termasuk penjualan peranti vape, cecair nikotin, produk tanpa nikotin untuk tujuan rekreasi, serta pengiklanan dan promosi produk berkenaan.

“Antara cadangan lain adalah penguatkuasaan lebih tegas terhadap penjualan nikotin secara haram, peluasan perkhidmatan berhenti merokok dan tindakan menangani ketagihan dalam kalangan golongan muda.

“Malaysia tidak sepatutnya menjadi medan ujian kepada industri yang mengaut keuntungan daripada ketagihan,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN