CYBERJAYA : Seorang pemandu lori maut selepas terlibat kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Saujana arah selatan di sini, malam tadi.
Pegawai Bomba Kanan 11, Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Mohmad Rashid Mohmad Said berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian berkenaan kira-kira pukul 11.28 malam.
Menurutnya, sebuah jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kemalangan.
“Setibanya di lokasi pihak bomba mendapati sebuah lori muatan lapan tan terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
“Hasil siasatan mendapati terdapat seorang lelaki India berusia 41 tahun tersepit di bahagian pemandu, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai kesihatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN










