PUTRAJAYA: Kebenaran rentas negeri untuk aktiviti pelancongan buat masa sekarang hanya dibenarkan melalui Gelembung Pelancongan Langkawi dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi kenyataan akhbarnya menjelaskan, bagi pelancongan domestik adalah dibenarkan melakukan aktiviti pelancongan ‘intra-state’ (dalam negeri yang sama) bagi negeri-negeri berada dalam fasa dua dan ke atas berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut kementerian itu, Sidang Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang juga merupakan jawatankuasa tertinggi untuk memutuskan pembukaan sektor ekonomi dan sektor bukan ekonomi, dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 September lalu.
“Beliau menyatakan kerajaan akan membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dengan syarat negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis Kementerian Kesihatan.
“Kerajaan akan membuat pengumuman rasmi sebaik sahaja mendapat suatu tarikh yang bersesuaian,” ujarnya.
Dalam pada itu, berdasarkan rekod melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga 28 September, sebanyak 85.1 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi. – UTUSAN










