PETALING JAYA: Patuh prosedur operasi standard (SOP), saling bekerjasama dan sentiasa bantu-membantu merupakan antara syarat utama untuk negara ini masuk ke fasa endemik.
Jika rakyat tidak mampu menjadikan SOP sebagai budaya hidup atau menjadikannya pematuhan kendiri maka bermakna negara belum bersedia untuk beralih ke fasa berikutnya.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, untuk beralih ke fasa endemik tanggungjawab bukan terletak pada kerajaan semata-mata tetapi setiap rakyat perlu bersedia membina komuniti dan sistem kemasyarakatan yang lebih bertanggungjawab tanpa mengira sama ada semua orang sudah divaksin atau tidak.
“Persoalannya, apakah kita sudah bersedia masuk ke fasa endemik? Kalau orang bertanyakan kepada saya, maka saya kata selagi mana rakyat tidak mampu untuk menjadikan SOP itu sebagai satu pematuhan kendiri (self compliance), selagi itu kita tak bersedia.
“Biarlah kita masuk ke fasa endemik dengan penerimaan seluruh rakyat dan mereka mengetahui akan tanggungjawab masing-masing. Ertinya, (apabila) kita maklumkan kepada semua bahawa kita akan beralih ke fasa endemik, semua orang harus bersedia.
“Yang tiada vaksin diberikan vaksin, warga pekerja (asing) yang tiada dokumen diberikan dokumen yang sah supaya boleh mendapat suntikan vaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya prasyarat untuk masuk ke fasa endemik setelah negara ini hampir mencapai imuniti kelompok.
Hamzah berkata, kerajaan akan melakukan proses advokasi kepada seluruh rakyat termasuk melalui media supaya mereka memahami tanggungjawab masing-masing.
Katanya, di pihak kerajaan pelbagai cara telah dillaksanakan untuk menangani penularan pandemik Covid-19 seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Menyeluruh atau total lockdown.
“Semua itu kita lakukan dengan mengatur SOP mengikut keadaan. Apabila kita buat perkara-perkara itu, kita hanya nampak bahawa di hadapan kita ada virus yang terpaksa kita lawan. Soalnya, adakah kita mahu hidup bersamanya? Jika kita mahu hidup dengan keadaan sebegitu, kita tak boleh kata ini adalah wabak, kita perlu tukar kepada endemik.
“Kalau betul kita nak tukar menjadi endemik, apakah kita sudah bersedia,” katanya.
Katanya, semua pihak mestilah bekerjasama terutama yang membabitkan pematuhan SOP kendiri selain sama-sama bertanggungjawab dan saling bantu membantu masyarakat keliling.
“Kita mesti bersedia dan bertanggungjawab untuk faham-memahami. Contohnya mereka yang duduk di rumah yang mana akhirnya tiada gaji dan pendapatan. Sekarang Polis Diraja Malaysia buat operasi bantuan (Ops Bantu) melalui ketua-ketua polis daerah.
“Mula-mula orang marah. Mereka kata ini bukan kerja polis. Tapi saya tegaskan, ini tanggungjawab yang kita galas. Sebab bila kita bercakap soal keselamatan, kalau orang duduk di rumah dan tiada makanan sampai melarat, inilah aspek keselamatan yang kita tekankan.
“Jadi kita mahu pastikan kita keluar, berjumpa masyarakat, kita serahkan risalah supaya mereka tahu, kalau ada masalah, boleh telefon nombor-nombor bantuan. Maknanya, faham-memahami dan bantu-membantu itulah pendekatan pertama,” katanya.
Dalam kalangan masyarakat pula katanya, jika jiran sebelah rumah sakit, sepatutnya jiran yang lain kena galas tanggungjawab untuk dapatkan bantuan perubatan melalui budaya tolong menolong.
“Dalam konteks wabak, kita bercakap soal imuniti kelompok iaitu keadaan apabila semua orang telah dapat vaksin. Tapi sebenarnya dalam konteks lebih luas, yang lebih utama ialah pandemik seharusnya mendorong kita membina komuniti dan sistem kemasyarakatan yang lebih bertanggungjawab.
“Kalau semua orang dah divaksin tetapi jika selepas itu masyarakat hilang budaya bantu-membantu pun tak jadi juga. Sebabnya, kalau capai imuniti kelompok, macam mana pula keadaan mereka di bawah 18 tahun yang tak dapat vaksin? Kemudian, sekolah-sekolah juga akan dibuka. Jadi di situlah pembudayaan nilai faham-memahami dan tolong-menolong ini harus diterapkan dalam semua kelompok masyarakat,” katanya. – UTUSAN










