Pasar Seni sepi tanpa pelukis jalanan - Utusan Malaysia

Pasar Seni sepi tanpa pelukis jalanan

Pasar Seni yang terletak di tengah-tengah ibu negara kini sepi tanpa pelukis jalanan dan juga peniaga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggiat seni dalam kalangan pelukis jalanan yang biasanya menjadi tarikan orang ramai berkunjung ke Pasar Seni atau Central Market sebelum pandemik Covid-19 tidak lagi berada di bangunan ikonik tersebut untuk ‘mempamerkan’ bakat mereka.

Ini kerana mereka tidak boleh beroperasi di situ dan sejak itu penggiat seni terpaksa mencari pelanggan yang meminati hasil lukisan di laman sosial.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan mendapati, Central Market dan kawasan sekitar bangunan itu sepi tanpa pelukis-pelukis jalanan tersebut.

Seorang pelukis, Jammal Tumiran, 54, atau dikenali sebagai Jammal Tommy berkata, beliau dan rakan-rakannya sudah beberapa bulan tidak menjalankan perniagaan di Pasar Seni dan hanya mengambil tempahan melalui pelanggan tetap sama ada Instagram atau Facebook.

Bagaimanapun, menurut beliau, perniagaan diceburinya sejak 2016 merosot teruk sejak tidak beroperasi di Pasar Seni.
“Menawarkan hasil lukisan dari rumah susah. Jika di Central Market lokasi itu seperti pusat, maka orang tahu bagaimana mahu cari pelukis, sekarang siapa yang tahu saja lah (cari) pelukis di laman sosial,” katanya.

Mohamad Hairul, 47, juga menyifatkan semua pelukis jalanan kini menjalankan operasi di rumah kerana kelonggaran berope­rasi semula di Pasar Seni belum dibenarkan.

Katanya, kelonggaran kebenaran melibatkan kraf dan seni belum dikeluarkan, jadi pihak­nya juga hanya mengharapkan kepada pelanggan tetap buat masa kini.

“Jadi tempahan kini sangat merosot dan kalau ada sekali pun hanya daripada pelanggan tetap. Itu sahaja,” katanya.
Tinjauan di Pasar Seni mendapati, kurang daripada 10 lot kedai yang beroperasi di Central Market selain khemah kecil di Kasturi Walk juga ditutup.

Setakat ini kebanyakan lot kedai yang beroperasi di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya kedai pakaian, fesyen dan aksesori serta makanan.

Difahamkan, hampir 100 da­ri­pada kira-kira 300 lot kedai di Pasar Seni didakwa tidak akan kembali berniaga.
Seorang pembantu kedai makanan berhampiran yang enggan dikenali berkata, suasana Pasar Seni masa kini amat berbeza berbanding dahulu.

Katanya, hanya beberapa kenderaan yang boleh dilihat mema­suki ruang parkir bangunan ber­kenaan walaupun beberapa sektor perniagaan sudah dibenarkan.

“Jika dahulu memang penuh, tetapi sekarang macam ini sahaja lah (lengang),” katanya.

Utusan Malaysia cuba mendapatkan reaksi peniaga yang masih beroperasi tetapi mereka mengelak dengan mendakwa terikat dengan pihak pengurusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×