Orang Asli dakwa diugut tidak warta tanah adat - Utusan Malaysia

Orang Asli dakwa diugut tidak warta tanah adat

Shaq Koyok semasa menyerahkan memorandum mempertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara kepada Menteri Besar Selangor di Shah Alam semalam. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri dikatakan tidak mahu mewartakan kawasan penempatan Orang Asli membabitkan lapan buah kampung berhampiran Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HKSLU) menyebabkan tiga Tok Batin terpaksa menyatakan persetujuan berhubung nyahwarta hutan simpan berkenaan.

Perkara itu didedahkan aktivis Orang Asli, Shaq Koyok susulan Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian memuat naik hantaran di Facebook semalam beserta gambar menunjukkan memorandum persetujuan nyahwarta ditandatangani tiga Tok Batin.

Mereka adalah dari Kampung Bukit Cheeding, Bukit Kechil dan Pulau Kempas, Kuala Langat yang bersetuju dengan nyahwarta HSKLU menerusi memorandum dipercayai setebal lapan muka surat diterima Loy Sian semalam (8 September).
Bagaimanapun, beliau menegaskan, pendirian asal disuarakan oleh ketiga-tiga Tok Batin berkenaan bersama penduduk kampung termasuk Kampung Busut Baru sejak tahun lepas menerusi satu surat kepada kerajaan negeri pada Februari 2020 adalah tidak bersetuju.

“Tahun lepas Tok Batin tak setuju penyahwartaan hutan simpan. Siap buat demonstrasi hantar memorandum bantah.
“Bulan September tahun lepas ada pihak atasan gertak Tok Batin supaya setuju. Kalau tak, kerajaan tak akan wartakan tanah kampung kami (warta sebagai tanah adat Orang Asli),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Terdahulu, akhbar ini mela­porkan tanah HSKLU seluas kira-kira 536.7 hektar dilaporkan dinyahwarta selepas Loy Sian memaklumkannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada minggu lalu.

Isu terbabit mendapat perhatian banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli politik sehingga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menangguhkan penyahwartaan HSKLU dan membawanya ke dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam.

Dalam pada itu, Shaq turut menafikan dakwaan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Datuk Ahmad Fadzil Abd. Majid yang menegaskan tanah HSKLU bukan tanah turun-temurun.

Menurutnya, tanah berkenaan pernah digazet sebagai hak milik kaum pribumi itu ketika Kerajaan British memerintah Tanah Melayu berdasarkan pernya­taan dalam Enakmen Hutan 1918 yang mana dokumen pewartaan itu dibuat pada 19 April 1927 dan ditandatangani oleh Pemangku Setiausaha kepada Residen Bri­tish di Selangor, L.A. Allen.

“Sebenarnya Orang Asli ada hak di kedua-dua kawasan iaitu tanah kampung serta hutan HSKLU,” ujarnya.

Terdahulu, Loy Sian dalam Facebooknya memuat naik hantaran mengenai nyahwarta HSKLU dan menyatakan keputusan mengenainya sama ada kekal nyahwarta, tangguh atau dibatalkan diketahui selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) hari ini (semalam). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×