Operasi hari pertama pasar malam lesu - Utusan Malaysia

Operasi hari pertama pasar malam lesu

SUASANA suram ekoran kurang sambutan pada hari pertama operasi pasar malam Bandar Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pasar malam Bandar Pontian, di sini yang mula beroperasi malam kelmarin, setelah hampir tiga bulan ditutup bukan sahaja mendapat sambutan dingin dalam kalangan pengunjung, bahkan peniaga juga tidak ramai.

Daripada kira-kira 130 peniaga yang biasanya menjalankan perniagaan di situ, hanya 18 orang membuka kedai walaupun sebahagian besarnya telah menerima suntikan vaksin dengan dua dos lengkap.

Keadaan itu menggusarkan para peniaga lain untuk terus berniaga kerana ketiadaan pelanggan akan menjejaskan operasi mereka terutama melibatkan makanan yang tidak boleh disimpan lama.

Menurut Pengerusi Pasar Lambak Pontian, Sidek Tamsir, dia terkejut dengan sambutan diberikan peniaga walaupun mereka sebelum ini merayu supaya dibenarkan beroperasi.

Katanya, berkemungkinan syarat kemasukan pengunjung yang memerlukan mereka mempunyai dua dos lengkap vaksin menyebabkan peniaga kurang yakin dengan kehadiran pembeli ketika ini.

“Rasanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu melihat semula prosedur operasi standard (SOP) bagi pasar malam memandangkan masih ramai pengunjung yang belum menerima suntikan dos sepenuhnya.

“Sekiranya mereka yang telah menerima suntikan pertama dibenarkan masuk ke pasar malam, tentu ramai pembeli akan hadir. Begitu juga di pihak peniaga akan turut memberikan sambutan yang baik.

“Kami berharap mendapat situasi menang-menang kerana selaku penganjur juga terpaksa menanggung kos pengurusan dan elaun kepada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang membuat kawalan,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang peniaga jagung bertih, Mustafa Ali, 62, yang sudah 37 tahun berniaga pelbagai aneka makanan di pasar malam juga tidak menyangka masih ramai rakan-rakannya belum memulakan operasi.

“Kami mengharapkan kehadiran pelanggan untuk sokongan dan suntik semangat peniaga yang hampir tiga bulan tidak berniaga disebabkan sekatan pergerakan penuh,” ujarnya yang hanya memperolehi RM20 selepas tiga jam beroperasi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN